Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

PERMOHONAN FATWA UNTUK PERTAMBAHAN KUBUR-KUBUR KAWASAN WAKAF/TANAH PERSENDIRIAN YANG TERLIBAT DIBAWAH PROJEK PEMBANGUNAN MINYAK DAN GAS (RAPID)
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: “Memindahkan kubur-kubur di luar kawasan wakaf/tanah persendirian yang terlibat di bawah projek pembangunan minyak dan gas (RAPID) di atas tanah perkuburan:- i. Kampung Sungai Kapal Lot 1279. ii. Kampung Teluk Ampang Lot 1072 dan Lot 1166 iii. Kampung Langkah Baik Lot (792) 1316 dan Lot (J266) 575 iv. Tanjung Setapa Lot 1091 v. Kampung Jawa Laut Lot 551 vi. Kampung Sabung (Sempadan Vila) Lot (1742) 1101-1637 vii. Kampung Sabung (Bukit) Lot 5962 viii. Kampung Jawa Darat (Tambahan) Lot 225 Berjumlah 262 buah kubur, mukim Pengerang, Kota Tinggi Johor Darul Takzim dengan kos pemindahan kubur ditanggung oleh PIJ Holdings Sdn Bhd yang akan membangunkan tanah tersebut adalah harus menurut hukum syara’ demi kepentingan dan maslahah umum”. 2. Pihak yang berwajib hendaklah memastikan terlebih dahulu jumlah kubur yang bertanda (mempunyai nisan) dan tidak bertanda (tidak bernisan) denga apa cara yang boleh membantu pengesanan tersebut. Pihak yang bertanggungjawab terutama pekerja-pekerja pemindahan hendaklah mengambil kira pandangan orang kampung sekiranya memberi pandangan bahawa kawasan yang terlibat dengan pemindahan itu mungkin terdapat lebih 262 buah kubur yang perlu dipindahkan. Pekerja yang akan melakukan penggalian dan pemindahan hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran di dalam kerja-kerja dan tugas operasi penggalian dan pemindahan mayat. 3. Sewaktu pemindahan mayat-mayat dari kubur ke tempat atau kawasan lain dijalankan, syarat-syarat berikut hendaklah diikuti: i. Pekerja yang terlibat dalam pemindahan ini hendaklah berniat bahawa kerja-kerja ini dilakukan demi kepentingan dan kemaslahatan umum kerana Allah taala. ii. Kerja-kerja pemindahan hendaklah dilakukan dengan penuh cermat, teliti, berhati-hati dengan penuh adab dan disiplin. iii. Pekerja-pekerja pemindahan hendaklah beragama Islam dan menutup aurat. iv. Sekiranya ada waris kepada mayat-mayat yang dikebumikan di kawasab yang tersebut, hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka (waris). v. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukanhendaklah mendapatkan surat kebenaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Cawangan Hal Ehwal Dalam), Pejabat Kesihatan dan pihak polis. vi. Semasa kerja-kerja pemindahan dilakukan hendaklah dihadiri oleh: a. Kadi Daerah atau wakil b. Polis c. Penghulu d. Ketua kampung e. Pegawai Pejabat Kesihatan f. Pengerusi Masjid atau wakil g. Imam Masjid h. Mereka yang difikirkan perlu oleh penghulu vii. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan dicadangkan diadakan majlis tahlil dan doa arwah bagi dihadiahkan kepada arwah yang telah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut, juga membaca doa selamat agar segala kerja-kerja yang akan dijalankan berjalan dengan lancar tanpa gangguan dan halangan. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI