Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

FATWA FAHAMAN HIZBUT TAHRIR
Setelah dilihat dengan penuh teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah membuat keputusan sebagaimana berikut: 1. Adalah ditetapkan bahawa umat Islam di negeri Johor Darul Ta’zim hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, dari segi Akidah berpandukan kepada Mazhab Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari dan Abu Mansur Al-Maturidi, Fiqh berpandukan kepada Mazhab Imam As-Syafie. Walaubagaimanapun tiga mazhab yang muktabar iaitu Al-Hanafi, Al-Maliki dan Al-Hanbali boleh dirujuk dan digunakan bagi menyelesaikan masalah-masalah tertentu dengan kelulusan Majlis Agama Islam Negeri Johor dan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Dari segi Tasawuf hendaklah berpegang dengan Imam Junid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali. Walaubagaimanapun mazhab Tasawuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ianya tidak bertentangan dengan Mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah. 2. Bahawa fahaman Hizbut Tahrir Malaysia yang mengambil pemikiran Syeikh Taqi Al-Din Al-Nabhani iaitu pengasas Hizbut Tahrir adalah bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadikan teras pegangan dan amalan masyarakat Islam di negeri Johor Darul Ta’zim. 3. Fahaman Hizbut Tahrir perlu dicegah keseluruhannya di negeri Johor Darul Ta’zim kerana ia boleh menimbulkan kecelaruan, kekeliruan, kesamaran dan menjadikan ancaman kepada keutuhan pegangan agama, perpaduan umat Islam, keamanan serta keselamatan negara. 4. Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, menetapkan dan memutuskan bahawa fahaman atau ajaran Hizbut Tahrir Malaysia sebagaimana yang dinyatakan adalah diharamkan dan dilarang.

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah

chevron_left KEMBALI