Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MOHON FATWA PERPINDAHAN KUBUR LAMA LEMBAGA PELABURAN JOHOR, TANJUNG PELEPAS
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: 1. Harus menurut hukum syarak untuk menggali dan memindahkan kubur-kubur lama yang terdapat dikawasan tapak wakaf perkuburan di atas PTD 1230 dan PTD 1231 mukimTanjung Kupang Daerah Johor Bahru milik Lembaga Pelabuhan Johor Tanjung Pelepas, Gelang Patah Johor ke tempat perkuburan yang berdekatan. Tanah yang terlibat dengan kawasan perkuburan tersebut adalah tanah wakaf perkuburan. Oleh itu sebelum kubur tersebut dipindahkan , tuan tanah iaitu Lembaga Pelabuhan Johr Bahru Tanjung Pelepas , Gelang Patah Johor terlebih dahulu hendaklah melakukan istibdal tanah perkuburan yang terlibat dengan membayar mengikut harga semasa sebagaimana yang dinilai oleh Jabatan Penilaian. Wang tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam tabung amwal badal Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk digunakan bagi pembelian tanah perkuburan yang lain. Segala kos perbelanjaan berkaitan dengan penggalian dan pemindahan kubur tersebut adalah ditanggung oleh pihak pemohon. 2. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada : a) Pemindahan ini dilakukan kerana ingin memuliakan mayat dengan dipindahkan ketempat yang lebih baik. b) Kawasan tanah perkuburan tersebut adalah merupakan tanah gambut berpaya bakau dan berada ditepi laut. c) Kawasan tersebut dinaiki air apabila air laut pasang dan menjejaskan kawasan kubur. d) Kawasan tersebut adalah milik Lembaga Pelabuhan Johor Tanjung Pelepas, Gelang Patah Johor. e) Sekiranya perkuburan tersebut tidak dipindahkan, ia terdedah dengan hakisan tanah yang menyebabkan kubur-kubur tersebut dihanyutkan oleh air laut. 3. Phak berwajib hendaklah memastikan terlebih dahulu jumlah kubur yang bertanda ( mempunyai nisan ) dan tidak bertanda ( tidak bernisan ) dengan apa cara yang boleh membantu pengesanan tersebut. 4. Pihak yang bertanggung jawab terutama pekerja-pekerja pemindahan hendaklah mengambil kira pandangan orang kampung sekiranya memberi pandangan bahawa kawasan yang telibat dengan pemindahan itu mungkin terdapat lebih daripada 150 buah kubur yangperlu dipindahkan. 5. Pekerja yang akan melakukan penggalian dan pemindahan hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran di dalam kerja-kerja dan tugas operasi penggalian dan pemindahan mayat. 6. Segala kos dan perbelanjaan untuk tujuan melaksanakan pemindahan ini ditanggung oleh pemohon. 7. Sewaktu pemindahan mayat-mayat dari kubur ke tempat atau kawasan lain dijalankan , syarat-syarat berikut hendaklah diikuti : i. Pekerja yang terlibat dalam pemindahan ini hendaklah berniat bahawa kerja-kerja ini dilakukan demi kepentingan dan kemaslahatan umum kerana Allah Taala. ii. Kerja –kerja pemindahan hendaklah dilakukan dengan penuh cermat, teliti, berhati-hati dengan penuh adab dan displin. iii. Pekerja-pekerja pemindahan hendaklah beragama Islam dan menutup aurat. iv. Sekiranya ada waris kepada mayat-mayat yang dikebumikan dikawasan yang tersebut, hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka (waris) v. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan hendaklah mendapat surat kebenaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor ( Cawangan Hal Ehwal Dalam) , Pejabat Kesihatan dan Pihak Polis. vi. Semasa kerja-kerja pemindahan dilakukan hendaklah dihadiri oleh : a) Kadi daerah atau wakil. b) Polis. c) Penghulu d) Ketua kampung e) Pegawai Pejabat Kesihatan f) Pengurus Masjid atau wakil g) Imam masjid h) Mereka yang difikirkan perlu oleh penghulu. vii. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan dicadangkan diadakan majlis tahlil dan doa arwah bagi dihadiahkan kepada rwah yang telah dikuburkan di tanah perkuburan tersebut, juga membaca doa selamat agar segala kerja-kerja yang akan dijalankan berjalan dengan lancarnya tanpa gangguan dan halangn. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI