Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MOHON FATWA PERPINDAHAN KUBUR LAMA LOT 656 KG. TELOK SERDANG, TAMAN PERLING, MUKIM PERLING
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: 1. Tiada apa-apa halangan dan bersetuju di atas permohonan memindahkan kubur yang terdapat di kawasan Lot 656 kampung Teluk Serdang, Taman Perling, Mukim Pulai Johor Baharu. 2. Pihak yang berwajib hendaklah memastikan terlebih dahulu jumlah perkuburan yang bertanda (mempunyai nisan) dan yang tidak bertanda (tidak bernisan) denga napa cara yang boleh membantu pengesanan tersebut. 3. Pihak yang bertanggungjawab terutama pekerja-pekerja pemindahan hendaklah mengambil kira pandangan orang kampung sekiranya mereka memberi pandangan bahawa kawasan yang terlibat dengan pemindahan itu terdapat lebih daripada 2 kubur lama. 4. Pekerja yang akan melakukan penggalian dan pemindahan hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran di dalam kerja-kerja dan tugas operasi penggalian dan pemindahan mayat. 5. Segala kos dan perbelanjaan untuk tujuan melaksanakan subjek ini ditanggung oleh pemohon. 6. Sewaktu pemindahan mayat dari kubur ke tempat atau kawasan lain dijalankan hendaklah dipatuhi syarat-syarat berikut: 6.1 Pekerja yang terlibat dalam pemindahan ini hendaklah berniat bahawa kerja-kerja ini dilakukan demi kepentingan dan kemaslahatan umum kerana Allah taala 6.2 Kerja-kerja pemindahan hendaklah dilakukan dengan penuh cermat, teliti, berhati-hati dengan penuh adab dan dispilin. 6.3 Pekerja-pekerja pemindahan hendaklah beragama Islam lagi menutup aurat. 6.4 Sekiranya ada waris kepada mayat yang dikebumikan di kawasan tersebut, hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka (waris). 6.5 Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan hendaklah mendapatkan surat kebenaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ), Pejabat Kesihatan dan pihak polis. 6.6 Semasa kerja-kerja pemindahan dilakukan hendaklah dihadiri oleh: a. Polis b. Penghulu c. Ketua kampung d. Pejabat Kesihatan e. Pengerusi Masjid atau wakil f. Imam Masjid g. Mereka yang difikirkan perlu oleh penghulu 6.7 Sebelum kerja-kerja pemindahan dilakukan dicadangkan diadakan majlis tahlik dan doa arwah bagi dihadiahkan pahalanya kepada roh yang telah dikebumikan ke tanah perkuburan tersebut, juga membaca doa selamat agar segala kerja-kerja yang akan dijalankan berjalan dengan lancarnya tanpa gangguan dan halangan. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI