Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MOHON FATWA MENGGALI DAN MEMINDAHKAN KUBUR ISLAM LAMA DI ATAS PTD 2399 MUKIM PARIT BAKAR DAERAH MUAR
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: “Harus menurut hukum syarak menggali dan memindahkan kubur Islam lama di atas lot PTD 2399 Mukim Parit Bakar Daerah Muar Johor ke tanah perkuburan yang berhampiran”. 1. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada: a. Pemindahan ini dilakukan kerana ingin memuliakan mayat dengan dipindahkan ke tempat yang lebih baik b. Kedudukan 5 buah kubur tersebut telah memasuki tanah hak milik Puan Aminah binti Sahari 2. Pihak yang berwajib hendaklah mempastikan terlebih dahulu jumlah kubur yang bertanda (mempunyai nisan) dan tidak bertanda (tidak bernisan) dengan apa cara yang boleh membantu pengesanan tersebut 3. Pihak yang bertanggungjawab terutama pekerja-pekerja pemindahan hendaklah mengambil kira pandangan orang kampung sekiranya memberi pandangan bahawa kawasan kawasan yang terlibat dengan pemindahan itu mungkin terdapat lebih daripada 5 buah kubur di tanah perkuburan tersebut yang perlu dipindahkan. 4. Pekerja yang akan melakukan penggalian dan pemindahan hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran didalam kerja-kerja dan tugas operasi penggalian dan pemindahan mayat. 5. Segala kos dan perbelanjaan untuk tujuan melaksanakan pemindahan ini ditanggung oleh pemohon 6. Sewaktu pemindahan mayat-mayat dari kubur ke tempat atau kawasan lain dijalankan, syarat-syarat berikut: i. Pekerja yang terlibat dalam pemindahan ini hendaklah berniat bahawa kerja-kerja ini dilakukan demi kepentingan dan kemaslahatan umum kerana Allah Taala. ii. Kerja-kerja pemindahan hendaklah dilakukan dengan penuh cermat, teliti, berhati-hati dengan penuh adab dan disiplin. iii. Pekerja-pekerja pemindahan hendaklah beragama Islam dan menutup aurat. iv. Sekiranya ada waris kepada mayat-mayat yang dikebumikan di kawasan yang tersebut, hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka (waris). v. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan hendaklah mendapatkan surat kebenaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Cawangan Hal Ehwal Dalam), Pejabat Kesihatan dan pihak Polis. vi. Semasa kerja-kerja dilakukan hendaklah dihadiri oleh: a. Kadi Daerah atau wakil b. Polis c. Penghulu d. Ketua Kampung e. Pegawai Pejabat Kesihatan f. Pengerusi Masjid atau wakil g. Imam Masjid h. Mereka yang difikirkan perlu oleh Penghulu vii. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan dicadangkan diadakan majlis tahlil dan doa arwah bagi dihadiahkan kepada arwah yang telah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut, juga membaca doa selamat agar segala kerja-kerja yang akan dijalankan berjalan dengan lancarnya tanpa gangguan dan halangan. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI