Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

HUKUM MENGEHADKAN BILANGAN JEMAAH SOLAT JUMAAT DAN SOLAT BERJEMAAH LIMA WAKTU DAN APA JUA AKTIVITI DI SEMUA MASJID, SURAU DAN MUSOLA DI NEGERI JOHOR DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN 3.0
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: 1. Bersetuju dan menerima kertas kerja cadangan mengehadkan Jemaah solat fardu Jumaat, fardu lima waktu dan aktiviti pengimarahan masjid dan surau negeri Johor Darul Takzim. 2. Solat berjemaah fardu lima waktu dan solat fardu Jumaat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 bagi memutuskan rantaian Covid-19 adalah dibenarkan berkuatkuasa 9 syawal 1442 hijriah hingga 26 syawal 1442 hijriah bersamaan 21 Mei 2021 miladiyah hingga 7 Jun 2021 miladiyah. 3. Bilangan Jemaah adalah seperti berikut: i. Masjid dan surau Jumaat adalah seramai 50 orang Jemaah di kalangan ahli qariah sahaja termasuk ahli jawatankuasa pengurusan qariah dan pegawai masjid dan surau Jumaat. ii. Surau adalah seramai 20 orang Jemaah di kalangan ahli qariah sahaja termasuk ahli jawatankuasa pengurusan qariah dan pegawai surau. iii. Bagi aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan adalah majlis membudayakan Al-Quran, bacaan surah Yasin dan tahlil, wirid khaujakan, zikir, asmaul husna, selawat, ratib al-attas, bacaan surah al-Mulk dan surah al-Kahfi dengan syarat kehadiran tidak melebihi 50 orang bagi kategori masjid dan surau Jumaat, manakala 20 orang bagi kategori surau dengan kehadiran terhad dari ahli qariah sahaja. Walaubagaimanapun, Jemaah hendaklah membawa Al-Quran, surah Yasin, kitab ratib, kitab selawat dan zikir sendiri dan tidak berkongsi dengan Jemaah lain. iv. Bagi kelas takmir, kelas Al-Quran, kuliah umum dan khas secara fizikal adalah ditangguhkan sementara. Walaubagaimanapun, kelas pengajian secara atas talian adalah digalakkan supaya program pengimarahan masjid dan dakwah dapat diteruskan.

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI