Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MOHON FATWA BERHUBUNG PERMOHONAN PERUNTUKAN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR BAGI CADANGAN PEMBIAYAAN, MEREKABENTUK, MEMBINA DAN MENYIAPKAN 121 UNIT SEKOLAH AGAMA DISELURUH NEGERI JOHOR.
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: “Kumpulan wang zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor adalah berpunca dari wang zakat yang diterima dari orang islam Negeri Johor, Ia wajib diagihkan mengikut asnaf sebagaimana ketentuan syarak melalui Firman Allah Taala dalam Surah At-Taubah Ayat 60: اِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلْفُقَرَاۤءِ وَالْمَسٰكِيْنِ وَالْعَامِلِيْنَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوْبُهُمْ وَفِى الرِّقَابِ وَالْغَارِمِيْنَ وَفِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَابْنِ السَّبِيْلِۗ فَرِيْضَةً مِّنَ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيمٌ Ertinya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk fakir dan orang miskin dan amal-amal yang mengurusnya , dan mualaf yang dijinakan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datingnya) dari Allah, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Berdasarkan ayat tersebut di atas maka cadangan pembiayaan sebanyak 30% oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi membina dan menyiapkan 97 unit Sekolah Agama adalah tidak harus dibiayai melalui kumpulan wang zakat ini, walaubagaimanapun Majlis harus mendahulukan pembayaranya dengan menggunakan kumpulan wang zakat ini dengan syarat dibayar balik mengikut jadual melalui sumber waqaf berikut : i. Hasil ladang waqaf Majlis Agama Islam Negeri Johor seluas 3900 ekar di Mersing yang dimajukan secara usaha sama oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan Pertubuhan Peladang Negeri Johor. ii. Hasil kutipan saham waqaf yang akan dilaksanakan untuk pembiayaan-pembiayaan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor yang dijangka akan mendapat sambutan yang menggalakkan melalui penyertaan masyarakat islam. iii. Hasil ladang waqaf kedua, Majlis akan memajukan permohonan kepada kerajaan agar mengurniakan kawasan tanah ladang yang munasabah keluasannya sebagai tambahan kawasan penanaman kelapa sawit untuk waqaf kebajikan am supaya dengan itu pembayaran balik pendahuluan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor dapat dijelaskan mengikut jadual. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI