Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MOHON FATWA MENGGALI DAN MEMINDAHKAN KUBUR DI ATAS LOT 9909 KAMPUNG BELEMANG MUKIM SEROM LEDANG, JOHOR
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: “Setelah dilihat dengan penuh penelitian dari setiap sudut hukum dan juga berdasarkan maslahat serta kepentingan menjaga kehormatan kubur-kubur tersebut, maka diharuskan menurut hukum syara’ untuk menggali dan memindahkan kubur-kubur tersebut ke tempat perkuburan baru yang terletak bersebelahan dan hendaklah terlebih dahulu diwakafkan melalui proses istibdal. Sebelum penggalian dan pemindahan kubur-kubur tersebut dilakukan pihak yang berwajib hendaklah memastikan terlebih dahulu jumlah kubur yang bertanda (mempunyai nisan) dan tidak bertanda (tidak bernisan) denga apa cara yang boleh membantu pengesanan tersebut. Pihak yang bertanggungjawab terutama pekerja-pekerja pemindahan hendaklah mengambil kira pandangan orang kampung sekiranya memberi pandangan bahawa kawasan yang terlibat dengan pemindahan itu mungkin terdapat lebih daripada 511 buah kubur di tanah perkuburan tersebut yang perlu dipindahkan. 4. Pekerja yang akan melakukan penggalian dan pemindahan hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran di dalam kerja-kerja dan tugas operasi penggalian dan pemindahan mayat. 5. Sewaktu pemindahan mayat-mayat dari kubur ke tempat atau kawasan lain dijalankan, syarat-syarat berikut hendaklah diikuti: i. Pekerja yang terlibat dalam pemindahan ini hendaklah berniat bahawa kerja-kerja ini dilakukan demi kepentingan dan kemaslahatan umum kerana Allah taala. ii. Kerja-kerja pemindahan hendaklah dilakukan dengan penuh cermat, teliti, berhati-hati dengan penuh adab dan disiplin. iii. Pekerja-pekerja pemindahan hendaklah beragama Islam dan menutup aurat. iv. Sekiranya ada waris kepada mayat-mayat yang dikebumikan di kawasab yang tersebut, hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka (waris). v. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukanhendaklah mendapatkan surat kebenaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Cawangan Hal Ehwal Dalam), Pejabat Kesihatan dan pihak polis. vi. Semasa kerja-kerja pemindahan dilakukan hendaklah dihadiri oleh: a. Kadi Daerah atau wakil b. Polis c. Penghulu d. Ketua kampung e. Pegawai Pejabat Kesihatan f. Pengerusi Masjid atau wakil g. Imam Masjid h. Mereka yang difikirkan perlu oleh penghulu vii. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan dicadangkan diadakan majlis tahlil dan doa arwah bagi dihadiahkan kepada arwah yang telah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut, juga membaca doa selamat agar segala kerja-kerja yang akan dijalankan berjalan dengan lancar tanpa gangguan dan halangan. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI