Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MOHON FATWA PERPINDAHAN KUBUR
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: “Memindahkan perkuburan di atas tanah LOT 1125, 269, 620, 617 dan LOT 458 tanah perkuburan Islam kariah (Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor) Kampung Gemereh dan Kampung Badak Mukim Gemereh Segamat dengan kos pemindahan kubur ditanggung oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor dan Jabatan Kerja Raya Malaysia Bahagian Pengurusan Projek (Selatan) Cawangan Jalan yang akan membangunkan tanah tersebut adalah harus menurut hukum syarak demi kepentingan dan maslahah umum”. Keharusan ini adalah dengan melaksanakan istibdal tapak iaitu menggantikan tapak yang diambil dengan tapak yang lain dengan syarat tapak tersebut mempunyai : i. Keluasan sama besar atau lebih besar ii. Sama nilai atau lebih tinggi nilainya Pihak yang berwajib hendaklah mempastikan terlebih dahulu jumlah perkuburan Yang Bertanda( Mempunyai Nisan) Dan tidak bertanda( tidak bernisan) dengan apa cara yang boleh membantu Pengesanan tersebut. Pihak yang bertanggungjawab terutama pekerja-pekerja pemindahan hendaklah mengambil kira pandangan orang kampung sekiranya memberi pandangan bahawa kawasan yang terlibat dengan pemindahan itu mungkin terdapat lebih daripada 350 buah kubur yang perlu dipindahkan. Pekerja yang akan melakukan penggalian dan pemindahan hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran di dalam kerja-kerja dan tugas operasi penggalian dan pemindahan mayat. Sewaktu pemindahan mayat-mayat dari kubur ke tempat atau kawasan lain dijalankan syarat-syarat berikut hendaklah diikuti: i. Pekerja yang terlibat dalam pemilihan ini hendaklah berniat bahawa kerja-kerja ini dilakukan demi kepentingan dan kemaslahatan umum kerana Allah taala. ii. Kerja-kerja pemindahan hendaklah dilakukan dengan penuh cermat, teliti, berhati-hati dan penuh adab dan disiplin. iii. Pekerja-pekerja pemindahan hendaklah beragama Islam lagi menutup aurat. iv. Sekiranya ada waris kepada mayat-mayat yang dikebumikan di kawasan yang tersebut, hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka (waris). v. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan hendaklah mendapatkan surat kebenaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Cawangan Hal Ehwal Dalam), pejabat kesihatan dan pihak polis. vi. Semasa kerja-kerja pemindahan dilakukan hendaklah dihadiri oleh: i. Kadi daerah atau wakil ii. Polis iii. penghulu iv. ketua kampung v. pegawai pejabat kesihatan vi. pengerusi masjid atau wakil vii. imam masjid viii. mereka yang difikirkan perlu oleh penghulu vii. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan dicadangkan diadakan majlis tahlil dan doa arwah bagi dihadiahkan kepada arwah yang telah dikebumikan di tanah perkuburan tersebut, juga membaca doa selamat agar segala kerja-kerja yang akan dijalankan berjalan dengan lancarnya tanpa gangguan dan halangan. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI