Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

GARIS PANDUAN AKTIVITI MELARUTKAN BATA ABU AL-QURAN
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: “Bersetuju dengan garis panduan aktiviti melarutkan bata abu al-Quran bagi tujuan memuliakannya oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor dengan beberapa pindaan sebagaimana berikut: 1. Pendahuluan Panduan ini menggariskan aktiviti melarutkan bata abu al-Quran bagi tujuan memuliakannya di Jabatan Agama Islam Negeri Johor yang telah disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Johor. 2. Tujuan Panduan ini dikuatkuasakan adalah untuk memudahkan pengurusan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, pentadbiran Pejabat-pejabat Kadi dan agensi-agensi berkenaan bagi melaksanakan kerja-kerja melarutkan bata abu al-Quran yang telah selesai melalui proses pelupusan. 3. Proses pembekuan a. Abu al-Quran yang telah selesai proses pelupusan hendaklah dibatakan dengan menggunakan mesin khas dan air yang bersih tanpa dicampur dengan bahan-bahan lain. b. Pengendali hendaklah berpakaian patuh syariah, berkasut dan sentiasa dalam keadaan berwuduk semasa melaksanakan proses membatakan. c. Setiap dua kilogram abu hendaklah dibancuh dengan 1.5 liter air bagi menghasilkan bata yang sempurna. d. Pastikan abu yang telah dibatakan ditimbang dan direkod. e. Bata abu al-Quran hendaklah disimpan dalam bekas yang tertutup rapi dan diletakkan di tempat yang dikhaskan. f. Ketinggian tempat simpanan bata abu al-Quran hendaklah melebihi tiga kaki dari paras lantai. 4. Proses Pelarutan a. Membaca al-Quran sekurang-kurangnya juzuk ke-30 sebelum menaiki kapal, mengikut kesusaian tempat, masa dan keadaan. b. Bacaan doa selamat hendaklah diadakan sebelum memulakan perjalanan ke lokasi yang telah ditetapkan bagi melarutkan bata abu al-Quran. c. Taklimat tentang keselamatan akan disampaikan oleh pegawai Jabatan Laut Wilayah Selatan atau agensi yang berkenaan di atas kapal. d. Taklimat berkenaan tatacara melarutkan abu al-Quran akan disampaikan oleh pegawai daripada Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor. e. Bacaan doa oleh pegawai agama sebelum memulakan kerja-kerja pelarutan batu abu al-Quran setelah tiba di kawasan yang telah ditetapkan, f. Proses melarutkan bata al-Quran hendaklah dilaksanakan dengan diiringi dengan bacaan selawat. g. Aspek keselamatan diri perlu diberi keutamaan semasa kerja-kerja melarutkan bata abu al-Quran dilaksanakan. h. Memastikan bata abu al-Quran yang akan dilaksanakan dilarutkan dengan tertib dan sempurna dengan niat untuk memuliakannya. i. Peralatan, bekas dan juga kawasan kapal yang telah digunakan semasa proses melarutkan abu hendaklah dibersihkan dan dikemas. 5. Kawasan melarut a. Lokasi melarutkan bata abu al-Quran hendaklah dilaksanakan di kawasan laut lepas sahaja dengan jarak melebihi 15 batu nautika daripada jeti. b. Tidak dibenarkan melarutkan bata abu al-Quran di kawasan laluan kapal. c. Kedalaman air laut adalah sekurang-kurangnya lima meter supaya abu yang dilarutkan terus tenggelam ke dasar laut. 6. Kaedah melarut a. Bata abu al-Quran hendaklah dilarutkan dengan cara melepaskanny dari atas kapal ke laut. Atau dibawa turun ke dasar laut dengan menggunakan kaedah selam skuba yang dilepaskan oleh kelab selam skuba Persatuan Pegawai Agama Islam Negeri Johor. 7. Segala aktiviti melarutkan bata abu al-Quran hendaklah dilepaskan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan agensi-agensi yang berkenaan seperti Jabatan Laut Wilayah Selatan, Maritim, Taman Laut Sultan Iskandar dan sebagainya. 8. Penutup Diharapkan dengan garis panduan melarutkan bata abu al-Quran daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan dijadikan panduan kepada agensi-agensi yang berkenaan dalam melaksanakan program tersebut. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah

chevron_left KEMBALI