Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

FATWA FAHAMAN WAHHABI
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh teliti, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah membuat keputusan sebagaimana berikut : 1. Adalah ditetapkan bahawa umat Islam di negeri Johor Darul Takzim hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, dari segi akidah berpandukan kepada mazhab Imam Abu Hasan Al-Ashari dan Abu Mansur Al-Maturidi, syariat berpandukan kepada mazhab Imam Syafie. Walau bagaimanapun tiga mazhab yang muktabar iaitu Al-Hanafi, Al-Maliki, Al-Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu, dan dari segi tasawuf hendaklah berpegang dengan Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Al-Ghazali. Walaubagaimanapun mazhab tasawuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ianya tidak bertentangan dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. 2. Bahawa fahaman atau ajaran Wahhabi adalah bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan dan amalan masyarakat Islam di negeri Johor Darul Ta’zim. 3. Fahaman atau ajaran Wahhabi perlu dicegah keseluruhannya dari berkembang di negeri Johor Darul Ta’zim kerana ia boleh menimbulkan kecelaruan dan menjadi ancaman kepada keutuhan pegangan agama, perpaduan ummah, perpaduan bangsa dan keamanan serta keselamatan negara. 4. Ciri-ciri fahaman atau ajaran Wahhabi adalah seperti berikut: (1) Fahaman dari sudut akidah antarannya: (a) Membahagikan Tauhid kepada 3 bahagian iaitu: i. Tauhid Rububiyyah - dengan tauhid ini, mereka mengatakan bahawa orang kafir juga mempunyai tauhid. ii. Tauhid Uluhiyyah - dengan tauhid ini, mereka menafikan tauhid umat Islam yang bertawasul, beristighasah dan bertabarruk sedangkan ketiga-tiga perkara tersebut diterima oleh majoriti ulama Islam khasnya ulama empat mazhab. iii. Tauhid Asma’ dan As Sifat - kefahaman mereka terhadap tauhid ini dengan mengisbatkan sifat-sifat Allah dalam ayat-ayat mutasyabihat boleh membawa kepada fahaman Tajsim dan Tasybih. (b) Menyatakan bahawa Abu Jahal dan Abu Lahab mempunyai pegangan tauhid yang lebih betul dan lebih murni keyakinan mereka daripada umat Islam yang bertawasul dengan para aulia’ dan solihin. (c) Menolak Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah yang merupakan pegangan majoriti ulama’ Islam dalam perkara akidah. (d) Menolak dan menganggap pengajian sifat 20 sebagai satu konsep yang bersumberkan falsafah Yunani dan Greek. (e) Menganggap syirik amalan-amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti tawasul, tabarruk, istighasah dan selawat-selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah S.A.W seperti selawat Syifa’ dan Tafrijiah. (f) Memahami ayat-ayat mutasyabihah secara zahir nas ayat tanpa huraian terperinci daripada ulama’ muktabar dan menolak takwil dalam bab mutasyabihat. (g) Mudah dan sering mendakwa bahawa ramai umat Islam membuat amalan syirik. (2) Fahaman dari sudut bidaah. Mereka yang berpegang dengan fahaman Wahhabi ini mudah untuk membidaahkan pelbagai amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersifat khilafiah sebagai melakukan bidaah dholalah. Di antara amalan yang didakwa sebagai bidaah dholalah ialah: (a) Membaca talqin. (b) Membaca tahlil untuk si mati yang dikenali sebagai “kenduri arwah”. (c) Membaca surah Yasin pada malam jumaat. (d) Membaca Qunut pada solat subuh. (e) Amalan menghadiahkan pahala kepada si mati melalui bacaan Al-Quran, jamuan makan dan sebagainya. (f) Menyambut sambutan Maulidur Rasul S.A.W. (g) Membaca surah Yasin sebanyak 3 kali pada malam Nisfu Syaaban. (h) Membaca Al-Quran di atas kubur. (i) Solat tarawih sebanyak 20 rakaat. (j) Membaca wirid dan zikir secara beramai-ramai selepas solat fardu. (k) Berdoa beramai-ramai selepas solat berjemaah. (l) Menyapu muka selepas memberi salam kedua. (m)Dua kali azan pada solat jumaat. (n) Menyebut lafaz “usolli” ketika niat solat. (o) Membaca bismillah secara kuat, nyaring dalam solat fardu. (p) Solat sunnat Qobliah sebelum solat Jumaat. (q) Solat hajat secara berjemaah. (r) Bersalaman selepas solat berjemaah. (s) Solat sunnat Qobliah sebelum solat fardu Maghrib. (3) Sikap dan sifat yang melampau (ekstrem) Wahhabi, antaranya: (a) Menolak beramal dengan hadis dhaif. (b) Sering menganggap hadis dhaif sebagai hadis maudu’. (c) Memaksa orang lain mengikut pendapat mereka. (d) Sering memperlekeh dan merendah-rendah martabat para ulama’. (e) Menolak fahaman bermazhab kepada imam-imam yang empat. Pada hakikatnya mereka membawa fahaman “tanpa mazhab”. (f) Sering mendakwa orang yang bermazhab sebagai taksub mazhab. (g) Menghilangkan kesan-kesan sejarah para anbiya’, ulama dan solihin dengan dakwaan menghindari syirik. (h) Sering mengungkit persoalan khilafiah. (i) Menganggap apa yang mereka amalkan adalah sunah dan amalan orang lain adalah bidaah dholalah. (j) Melakukan perubahan kepada kitab-kitab turath yang tidak sehaluan dengan mereka. 5. Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, mengambil keputusan bahawa fahaman atau ajaran Wahhabi sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 4 adalah dilarang. Larangan ini meliputi : i. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan adalah dilarang berpegang atau menjadi pengikut ajaran Wahhabi dan sesiapa yang melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. ii. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, belajar, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman Wahhabi adalah melakukan kesalahan. iii. Apa-apa jua bahan hiburan dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman Wahhabi dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah ditegah. iv. Mana-mana orang Islam dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio atau visual, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa dokumen yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Wahabi. v. Mana-mana orang Islam adalah dilarang dan ditegah daripada memberi apa jua kemudahan, sumbangan dan bantuan kepada golongan Wahabi ini daripada mengamal, menyebar dan mengembangkan fahaman dan ajaran Wahabi di negeri Johor. 6. Mana-mana orang Islam samada secara individu atau berkumpulan yang melakukan perkara-perkara dalam perenggan 5 adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan dibawah undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Johor.

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah

chevron_left KEMBALI