Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

PENYELEWENGAN AJARAN RISALAH BAB KESUCIAN YANG DIBAWA OLEH WAYANG HADI KESUMO (HADI MINALLAH) MELALUI KUMPULAN NUR MUTIARA MUTMAINNAH
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: Bahawa ajaran yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) adalah bercanggah dengan al-Quran dan sunnah serta ijma’ ulama’ dalam bab akidah, syariah, tasawwuf (akhlak). Antara isu-isu penyelewengan adalah seperti berikut: i. Dalam aspek akidah, ajaran yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) ini mengajak kepada konsep pluralisme agama yang bercanggah dengan akidah ahli sunnah wal jamaah serta cenderung untuk melakukan pengubahan (tahrif) terhadap al-Quran selain menolak sumber hadith sahih. ii. Dalam aspek syariat, ajaran yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) menganggap pengikut kumpulan tersebut perlulah menyucikan diri mereka dengan mengikuti ajaran risalah bab kesucian sebelum boleh melaksanakan ibadah-ibadah fardu serta menghuraikan ibadah-ibadah tersebut dengan cara yang bertentangan dengan syariat islam. Ajaran Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) turut mempermainkan hukum Allah dengan mengharamkan perkara-perkara yang telah dihalalkan oleh Allah SWT termasuk dari sudut pernikahan. iii. Dalam aspek tasawwuf, ajaran risalah bab kesucian yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) mengandungi unsur-unsur yang memisahkan hubungan antara syariat, hakikat dan makrifat serta tidak memahami ilmu tasawwuf yang sebenar menurut ahli sunnah wal jamaah. Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa ajaran yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah) adalah sesat lagi menyesatkan dan haram diamalkan oleh orang Islam. Mana-mana orang Islam yang telah terlibat dengan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat. والله أعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI