Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

FABRIKASI LOGAM BERUNSUR ISLAM DAN MELETAKKAN KALIMAH BERUNSUR ISLAM UNTUK MEMULIAKANNYA
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: Alhamdulillah fatwanya: Penggunaan tulisan atau khat-khat ayat al-Quran, hadis Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam, Lafzul Jalalah (Allah), kalimah tauhid dan lain-lain kalimah yang mempunyai kemuliaan tersendiri di dalam Islam untuk tujuan dakwah adalah diharuskan dengan syarat-syarat dan displin-displin tertentu sebagaimana berikut: i. Tulisan tersebut hendaklah menggunakan khat yang mudah dibaca dan difahami oleh orang awam contohnya khat nasakh, riq’ah dan thuluth. ii. Lokasi penempatan khat-khat tersebut hendaklah di tempat yang sesuai dengan kemuliaan ayat-ayat al-Quran, hadis Rasululullah sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Lafzul Jalalah (Allah), kalimah tauhid dan lain-lain kalimah yang mulia. iii. Lokasinya adalah terbatas di dalam masjid, surau, rumah, pejabat dan dewan atau tempat-tempat bersesuaian dengan kemuliaan kalimah-kalimah tersebut yang mana penjagaan, kemuliaan ayat-ayat dan kalimah-kalimah tersebut terjaga dengan secara berterusan dan berpanjangan. iv. Penempatan khat tersebut bukan di pagar atau jeriji samaada di masjid, surau dan bangunan-bangunan lain bukan juga ditempatkan di lokasi yang tidak sesuai dengan martabat dan kemuliaan al-Quran, hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Lafzul Jalalah (Allah), kalimah tauhid dan lain-lain kalimah yang mulia. v. Tujuan penggunaan khat-khat tersebut adalah untuk dakwah dan bukan sebagai hiasan semata-mata. vi. Hendaklah dipastikan pembuat ayat-ayat tersebut adalah daripada orang Islam. vii. Hendaklah ada jaminan bahawa bangunan-bangunan yang ditulis ayat-ayat tersebut tidak bertukar milik kepada bukan Islam. viii. Untuk memperkenalkan Islam bukan hanya dengan khat-khat al-Quran, al-Hadis atau kalimah-kalimah mulia dalam islam sahaja, bahkan juga dengan simbol-simbol Islam yang lain seperti seni kerawang ukiran seperti di Turki, selain itu boleh juga dengan menggunakan tulisan khat (jawi) dengan menulis maksud-maksud ayat al-Quran dan hadis, kata-kata hukama’, perkataan biasa seperti “Selamat datang” “Islam itu indah” dan lain-lain. والله أعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI