Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

HUKUM SOLAT SUNAT HADIAH
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: Ulama’ berbeza pandangan berkenaan Hukum Solat Sunat Hadiah iaitu ada yang mengatakan harus dan ada yang mengatakan tidak sah serta mengatakan hadis yang djadikan dalil keharusan ialah hadis mauduk. Namun setelah perkara ini dirujuk kepada Doktor Ismadi Bin Sakat, pakar hadis beliau menyatakan hadis itu bukan mauduk tetapi tiada athar dan boleh untuk menggalakkan berbuat baik. Dari sudut yang lain, ulama’ tidak mengingkari bahawa sampai pahala amalan yang dihadiahkan kepada si mati seperti solat, sedekah, tahlil, bacaan al-Quran dan sebagainya sebagaimana doa tahlil iaitu اللهم اجعل وأوصل وتقبل ثوابا ما قرأناه من القرءان العظيم إلى روح ..................... (sebutkan nama si mati) Selain itu, terdapat keharusan mendirikan Solat Sunat Mutlak yang tidak ditentukan nama solatnya, bilangan rakaatnya dan waktunya kecuali waktu yang diharamkan mendirikan Solat Sunat, sebagaimana hadis Nabi SAW : Ertinya : Saidina Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda : Solat itu adalah sebaik-baik perbuatan, barang siapa yang mampu memperbanyakkannya maka lakukanlah. (Hadis Riwayat Imam At-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Ausath 1/84). Oleh yang demikian, adalah lebih digalakkan untuk membuat Solat Sunat Mutlak tanpa disebutkan Solat Sunat Hadiah dan ianya lebih menepati syarak yang mana sabit keharusannya di dalam hadis Nabi SAW. Sebelum mendirikan solat sunat ini, imam diminta mengingatkan makmum bahawa pahala solat sunat ini hendaklah dihadiahkan kepada si mati. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI