Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

PELAKSANAAN SOLAT JUMAAT DALAM TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) COVID-19
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: 1. Bersetuju menerima dan seterusnya mengangkat resolusi Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia untuk sembah maklum dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim. 2. Demi menjaga dan menghidupkan syiar Islam, solat jumaat di masjid dan surau jumaat dalam negeri Johor Darul Takzim dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan mulai 22 Ramadhan 1441 Hijriah bersamaan 15 Mei 2020 Miladiah. Walaubagaimanapun, pelaksanaannya adalah terhad kepada empat (4) orang pegawai masjid dan bertugas sahaja. 3. Keputusan ini adalah berdasarkan kepada hujah-hujah berikut :- i. Firman Allah SWT dalam surah A-Hajj ayat 32, ertinya : “ Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”. ii. Ini juga berdasarkan kaedah fekah : ما لا يدرك كله لا يترك كله Ertinya : Apa-apa perintah syarak yang tidak boleh dilakukan kesemuanya maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya. لا ضرر ولا ضرار Ertinya : Tidak boleh melakukan kemudharatan terhadap diri sendiri dan kepada orang lain الضرورات تقدر بقدرها Ertinya : Keadaan dharurat ditentukan mengikut kadarnya iii. Pelaksanaan solat jumaat dengan bilangan Jemaah sama ada empat (4) orang atau dua belas (12) orang atau empat puluh (40) orang adalah berdasarkan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor iv. Keputusan ini berdasarkan kepada hujah-hujah berikut : a. Menghadkan bilangan Jemaah adalah untuk mengelakkan مشقة (Kesukaran) dan mudarat yang lebih besar iaitu penularan wabak covid-19 yang boleh membawa kepada kematian. b. Kaedah menetapkan sekurang-kurangnya empat orang bilangan Jemaah solat jumaat ini adalah merupakan pendapat sebahagian ulama mazhab syafie ( Qaul Qadim ) yang menyebutkan bahawa sah jumaat oleh empat orang sahaja tanpa perlu ditambah solat zohor empat rakat. c. Kaedah ini hanya terpakai untuk kaedah solat jumaat semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sahaja dan tidak boleh dipakai pada permohonan mendirikan solat jumaat bagi tempat-tempat yang tidak mencukupi bilangan 40 orang jemaah والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI