Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

PERSOALAN YANG DIBANGKITKAN DI AKHBAR MYMETRO.KINI.BLOG BERTARIKH 28 MAC 2020 YANG BERTAJUK “SULTAN MERUPAKAN BAYANGAN ALLAH DIBUMI KENYATAAN TUNKU IDRIS MENIMBULKAN PERSOALAN RAMAI PIHAK”
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada hari Ahad 4 Sya’ban 1441 Hijriah bersamaan 29 Mac 2020 Miladiah telah bersidang bagi membincangkan persoalan yang dibangkitkan diakhir mymetro.kini.blog bertaring 28 Mac 2020 yang bertajuk “SULTAN MERUPAKAN BAYANGAN ALLAH DIBUMI KENYATAAN TUNKU IDRIS MENIMBULKAN PERSOALAN RAMAI PIHAK”. Di dalam laporan tersebut, para nitizen telah menimbulkan persoalan berkaitan status dan maksud disebalik hadis yang telah dimuat naik oleh Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor melalui rujukannya kepada teks khutbah Jumaat Negeri Johor Darul Ta’zim yang bertajuk “Mentaati Raja Tunggak Kesejahteraan Umat” yang sepatutnya dibaca pada 27 Mac 2020. Hadis yang dinyatakan adalah sebagaimana berikut: السلطان ظل الله في الأرض فمن أكرمه أكرمه الله، ومن أهانه أهانه الله Maksudnya: “Sultan adalah bayangan Allah dibumi dan barangsiapa yang memuliakan sultan maka Allah akan memuliakannya dan barangsiapa yang menghina sultan, maka Allah akan menghinanya juga” Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah memperhalusi persoalan yang dibangkitkan oleh netizen dalam isu tersebut dan berpandangan sebagaimana berikut : 1) Terdapat perbahasan yang panjang sejak zaman-berzaman mengenai status hadith tersebut dan Jawatankuasa berpandangan ianya adalah suatu perbahasan yang telah lama dimuktamadkan. Hadith ini telah dinilai sebagai Hadith SOHIH oleh Imam As Sayuti di dalam kitabnya, Jami’ As-Saghir pada hadith bilangan 4799, Ibnu Abi ‘Assim dalam kitabnya As-Sunnah pada hadith bilangan 1024 dan Imam Baihaqi di dalam kitabnya Syu’abul Iman pada hadith bilangan 6988. Jawatankuasa ini memegang hadith tersebut sebagai hadith sohih dan menjadi suatu amalan di dalam Negeri Johor DENGAN SYARAT ianya perlu dihubungkaitkan dengan dhawabit (panduan) tertentu. 2) Pelaksanaan mafhum Hadith bahawa Sultan adalah bayangan Allah di bumi ini telah digarispandukan di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 yang mana Perlembagaan Negeri Johor ini sebenarnya telah pun juga dirujuk pada pembukaan Teks Khutbah Jumaat tersebut. Antara dua (2) elemen utama di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang memandu Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam hal ehwal pemerintahannya adalah : (i). Pengakuan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan dengan iktikad kepercayaannya (tauhid) kepada Allah sebagai Tuhan Pencipta sekalian alam; dan (ii). Sumpah Syarie di atas nama Allah dengan keimanan kepada Allah. Justeru itulah, prinsip pelaksanaan hadith Sultan adalah bayangan Allah di bumi ini adalah berpaksikan kepada panduan yang amat jelas, iaitu : I. Mentauhidkan Allah Adalah suatu fakta yang diperakukan bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 telah memberi wajah baharu kepada lanskap pemerintahan raja-raja Melayu dengan meletakkan Tauhid kepada Allah dan kedudukan Agama Islam di tempat yang utama. Ianya menghapuskan amalan, tradisi dan pegangan lama terhadap Institusi Kesultanan yang dahulunya dianggap sebagai jelmaan tuhan di bumi yang mempunyai taraf yang sama dengan tuhan kepada pegangan bahawa Sultan adalah bayangan Allah di bumi dan oleh itu terikat dengan hubungan antara Pencipta dan hambaNya; Amat perlu difahami bahawa pengasas Kesultanan Johor Moden iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar telah merujuk dirinya sebagai AL-WATHIQU BILLAH yang membawa maksud “Orang yang mempercayai dan meyakini kepada Allah” di dalam Seru Pembukaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor tersebut. Almarhum Sultan Abu Bakar telah melaksanakan pemerintahan beraja dengan sifat tawaduk dan penyerahan kepada Allah yang Maha Esa dan dimanifestasikan melalui Cogan Negeri Johor iaitu “Kepada Allah Berserah”. Justeru, Baginda menitahkan bahawa pihak yang mengingkari peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dikategorikan sebagai haram dan dianggap sebagai dayus dan berdosa. Almarhum menitipkan di mukadimah Undang-undang Tubuh Negeri Johor : “.. ketahuilah olehmu sekelian rakyat kerajaan kita daripada sekalian pangkat bangsa dan agama dan ketahuilah jua sekalian yang berkenaan dengan negeri jajahan dan tanah air kita bahawa sesungguhnya kita buat dan jadikan barang-barang yang tersebut di bawah ini undang-undang yang benar betul teguh tentu dan tetap bagi negeri dan kerajaan kita iaitu haram, jayus, derhaka dan berdosa bagi sesiapa orang yang enggan daripadanya dan yang mengingkarkan dia…”. II. Sumpah Syarie Bacaan Iqrar Sumpah Syarie adalah suatu kewajipan bagi seorang Sultan apabila baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Johor. Lafaz sumpah yang dilafazkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan adalah sebagai cerminan dan pelaksanaan kepada mafhum hadith tersebut. Sumpah itu meletakkan syarat bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan bersumpah di atas nama Allah dengan lafaz berikut : وَاللهِ وَبِاللهِ وَتَاللهِ Wallahi, Wabillahi, Watallahi dengan penuh keimanannya kepada Allah untuk melaksanakan pemerintahan Negeri Johor dengan adil dan saksama terhadap seluruh rakyat negeri dan pada setiap masa menghormatkan letak duduk agama Islam sebagai agama negeri dan Duli Yang Maha Mulia Sultan pada penghujung sumpahnya memohon kepada Allah SWT untuk melimpahkan pertolongan akan urusan pemerintahannya. Maka itulah setiap keputusan Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam memerintah negeri ini berhubung kait terus dengan Sumpah Syarie yang dilafazkan Duli Yang Maha Mulia Sultan di atas nama Penciptanya. 3) Kedua-dua elemen fundamental yang memandu Duli Yang Maha Mulia Sultan di atas telah diperkukuhkan dengan fakta bahawa Fasal 57 dan Fasal 57A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 telah menetapkan bahawa Islam adalah agama Negeri Johor dan hendaklah pada setiap masa dan selama-lamanya kekal menjadi agama bagi negeri ini dan menetapkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan adalah Ketua Agama Islam bagi Negeri Johor Darul Ta’zim. Tegasnya, penerimaan mafhum hadith tersebut di atas tidaklah bertujuan untuk meletakkan tubuh diri Duli Yang Maha Mulia Sultan itu sebagai bayangan Allah di bumi, namun apa yang lebih utama adalah keseluruhan Institusi Kesultanan Johor. Institusi inilah yang menjadi benteng utama bagi memastikan kesinambungan dan kemuliaan agama Allah di Negeri Johor. 4) Di atas panduan yang dinyatakan sedemikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor juga ingin memaklumkan bahawa kedudukan Sultan adalah bayangan Allah di bumi ini melalui mafhum hadith yang sama bukanlah suatu yang baharu di alam Melayu bahkan ia adalah asas pembinaan sistem kesultanan di alam Melayu sejak Kurun Ke-9 Masihi dengan tertubuhnya Kerajaan Islam Peurlak. Di samping itu, konsep ini juga digunapakai dalam sistem kesultanan Khilafah Uthmaniyyah dan sistem kesultanan-kesultanan Islam yang lain di dunia. Di negara kita hari ini, Hadith ini juga telah dirujuk di dalam titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 26hb Februari 2018 dan Khutbah Jumaat bagi Masjid Negeri Pahang bersempena Keputeraan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 19hb Oktober 2018. 5) KESIMPULAN Berdasarkan penelitian di atas, kata-kata Imam Al-Ghazali di dalam Kitab Ihya’ Ulum Ad-Din adalah relevan dalam menyimpulkan hubungkait antara mafhum hadith tersebut dengan letak duduk Institusi Raja atau Sultan. Beliau berkata “Raja dan agama ibarat saudara kembar. Agama merupakan dasar, sementara Sultan pula adalah penjaganya. Barang yang tiada dasar akan hilang. Tidaklah lengkap penguasaan dan pengawalan, melainkan dengan Sultan. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI