Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

HUKUM PENTERNAKAN BUAYA DAN LEMBU WAGYU YANG DIBERI MINUM ARAK
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menjawab persoalan yang dikemukakan sahaja iaitu: BUAYA 1. Menternak buaya bagi tujuan pelancongan disamping sebagai pusat penyelidikan ilmu adalah Harus menurut hukum syarak. 2. Menjual cenderamata yang dihasilkan daripada pengambilan anggota-anggota buaya seperti gigi, kulit, kuku dan sebagainya adalah Harus menurut hukum syarak. 3. Menggunakan barang-barang yang dihasilkan daripada kulit buaya seperti beg tangan, kasut, tali pinggang, dan sebagainya adalah Harus menurut hukum syarak dengan syarat dilakukan proses samak terhadap kulit tersebut. 4. Menjual buaya hidup dan daging buaya kepada bukan Islam adalah harus menurut hukum syarak. 5. Menjual buaya hidup kepada orang Islam adalah harus menurut hukum syarak. 6. Mengambil manfaat daripada anggota-anggota buaya bagi tujuan rawatan dan perubatan yang telah dibuktikan kemujarabannya melalui kaedah sains adalah Harus menurut hukum syarak. 7. Menghasilkan minyak wangi daripada tulang belulang buaya adalah tidak harus menurut hukum syarak. NOTA: Fatwa ini adalah khusus untuk projek penternakan buaya yang diusahakan oleh syarikah JCORP sahaja. LEMBU WAGYU YANG DIBERI MINUM ARAK 1. Menternak Lembu Wagyu dengan memberi minum arak untuk tujuan dijual dagingnya adalah Haram menurut hukum syarak. 2. Menjual dan membeli daging Lembu Wagyu yang diberi minum arak adalah Haram menurut hukum syarak. 3. Menurut hukum syarak, Orang Islam haram memakan daging Lembu Wagyu yang diberi minum arak. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI