Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

PERISYTIHARAN DARURAT MENURUT SIASAH SYARIAH
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: Perisytiharan darurat oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Muhyiddin Bin Yasin, Perdana Menteri Malaysia setelah mendapat perkenan daripada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagai ulil amri adalah bertepatan dengan siasah Syariah, ini adalah kerana alasan darurat yang diberikan masih berada di dalam ruang lingkup maksud darurat yang telah dibahaskan oleh para ulama’ yang sebahagiannya telah dierjelaskan di dalam kertas kerja yang disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara. Kaedahتَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالمَصْلَحَةِ boleh dijadikan sebagai sandaran dan hujah betapa tanggungjawab pemerintah sentiasa menjaga kemaslahatan rakyat dan umat di dalam sesebuah negara. Kecil atau besar darurat masih berada di bawah erti kata darurat di dalam Islam. Justeru, perisytihran darurat yang dibuat pada waktu ini disebabkan kerana pertambahan bilangan jangkitan covid-19 yang begitu mendadak dan sekiranya tidak diambil satu Langkah pembendungan secara tegas maka sudah pasti ianya lebih menyukarkan untuk dibendung. Begitu juga kaedah الضَّرُوْرَةُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا diambil oleh pemerintah dengan mengisytiharkan darurat bahkan juga beberapa perkara yang diputuskan oleh Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum ini seperti penutupan masjid dari solat Jumaat dan solat lima waktu juga menghadkan bilangan Jemaah pada bilangan tertentu dan penjarakan di dalam solat Jumaat adalah atas prinsip darurat untuk membendung penularan covid-19. Sekiranya kertas Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ini tidak diterima sebagai darurat syarie maka bagaimana keputusan yang kita ambil sebelum ini?. 2. Rakyat hendaklah mentaati perisytiharan darurat atau perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong selagi perintah yang dikeluarkan tidak melanggar nas syarak, pelanggaran terhadap perintah ini bererti tidak mentaati Ulil Amri dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. 3. Kewajipan kepada rakyat untuk mematuhi perisytiharan darurat ini adalah sabit dn tidak perlu dipertikaikan, ini kerana ianya merupakan suatu perintah daripada pemerintah yang wajib dipatuhi oleh setiap rakyat selagi mana perintah yang dikeluarkan tidak melanggar nas syarak. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 59 hendaklah dirujuk. Ertinya : Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) dikalangan kamu… Begitu juga dengan hadis Nabi SAW : Ertinya : Sultan adalah bayangan dibumi dan barangsiapa yang memuliakan sultan maka Allah akan memuliakannya dan barangsiapa yang menghina sultan, maka Allah akan menghinanya juga. (Hadis sahih oleh Imam as-Sayuti di dalam kitabnya Jami’ as-soghir). Dan hadis Nabi SAW : Ertinya : Daripada Abu Dzar RA beliau berkata : Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah SAW) memberi wasiat kepadaku supaya patuh dan taat walaupun yang memimpin adalah seorang hamba yang cacat (hina). (Hadis Riwayat Imam Muslim). 4. Kewajipan mentaati arahan darurat itu juga sabit kerana alasan-alasan yang dikemukakan di atas, bahkan pemerintah boleh mengambil Tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang mempertikaikan arahan darurat atau melanggar peraturan-peraturan yang ada di bawah perisytiharan darurat tersebut. Mereka boleh diambil tindakan di bawah kesalahan bughah iaitu mengingkari perintah pemerintah yang adil sebagaimana yang termaktub di dalam kitab-kitab feqah. Kecil atau besar hukuman adalah tergantung di atas pertimbangan dan kebijaksanaan pemerintah. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI