Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

FATWA PERMAINAN POKEMON GO
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: Hukum asal permainan POKEMON GO adalah harus menurut hukum syarak sebagaimana yang termaktub dalam kaedah fiqhiyah قاعدة فقهية , "الأصل في الأشياء الإباحة" ertinya “asal sesuatu perkara itu adalah harus”. Walaubagaimana pun, keharusan hukum ini akan bertukar menjadi hukum yang lain berdasarkan pertimbangan neraca syarak, bukan neraca nafsu dan keduniaan semata-mata. Permainan ini boleh membawa kepada perkara-perkara yang negatif dan juga sikap positif seperti dapat berkumpul satu keluarga ketika bermain POKEMON GO. Walaubagaimanapun, perkara negatif yang terhasil daripada permainan tersebut lebih banyak berbanding dengan yang positif. Antaranya ialah ia boleh membawa kepada: 1. Pendedahan pengintipan pihak luar terhadap perkara-perkara rahsia. 2. Pencerobohan ruang peribadi. 3. Berlakunya kemalangan. 4. Kelalaian sehingga mengabaikan penggunaan masa yang berkualiti. 5. Ketagihan melampau terhadap gajet. 6. Gangguan emosi seperti mudah marah akibat kekalahan. 7. Membuka ruang kewujudan akhlak yang buruk di kalangan remaja khususnya pelajar sekolah. Oleh itu, demi menjaga maslahah ammah مصلحة عامة, memelihara keselamatan dan mengelakkan kemudaratan yang besar akan berlaku, maka permainan POKEMON GO adalah dilarang dan ditegah. Semua umat Islam di Negeri Johor Darul Takzim dilarang melibatkan diri dengan permainan POKEMAN GO ini dalam apa jua bentuk, masa dan tempat. Larangan dan tegahan ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqhiyah قاعدة فقهية berikut: 1. سد الذرائع (menyekat pintu-pintu keburukan) 2. درء المفاسد مقدم على جلب المصالح (menolak kemudaratan didahulukan daripada mengambil manfaat). 3. الضرر يدفع بقدر الإمكان (kemudaratan dibendung semungkin yang dapat) 4. تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة (tindakan pihak berkuasa terhadap orang awam selalunya bergantung kepada pertimbangan yang membawa kepada kemaslahatan (kebaikkan) awam). 5. الرضا بالشيء رضا بما يتولد منه (setuju dengan sesuatu bererti reda dengan apa yang lahir daripadanya). Kaedah nombor lima (5) di atas bermaksud bersetuju dengan sesuatu membawa erti bersetuju dengan akibat yang akan terjadi daripadanya atau akibat yang terbentuk daripadanya. Sebagai contoh, seseorang yang rela dengan unsur serta faktor maksiat adalah sama seperti membenarkan serta merelakan berlakunya maksiat. Justeru, Jawatankuasa Fatwa melarang dan menegah permainan POKEMON GO ini adalah kerana tidak rela keburukkan yang berlaku hasil daripadanya, Ekoran daripada keputusan ini, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah membuat sekatan aplikasi permainan POKEMON GO tersebut dengan segera. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI