Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

HUKUM MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: 1. Menurut pandangan mazhab as-Syafii yang masyhur, tidak dibolehkan memberi daging korban sama ada korban sunat atau korban wajib kepada orang bukan Islam kerana ibadah korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Pandangan yang masyhur ini adalah menjadi pegangan yang asas oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam masalah ini. 2. Walaubagaimanapun, sekiranya daging korban sunat tersebut dimasak kemudian dijamu sebagai salah satu hidangan dalam majlis kenduri atau sebagai bekal untuk dijamu bersama rakan sekerja di pejabat, yang mana mereka terdiri daripada orang bukan Islam yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam, maka dalam masalah ini bolehlah berpegang dengan pandangan ulama dalam mazhab as-Syafii seperti Imam an-Nawawi R.A. yang berpandangan bahawa dibolehkan daging korban sunat untuk diberi makan kepada kafir zimmi ذمي yang miskin. Pandangan ini juga adalah pandangan sebahagian ulama mazhab Hanafi, bahkan dalam mazhab Hambali harus dihadiahkan kepada orang kafir. 3. Namun, dalam masalah agihan daging korban, hendaklah didahulukan kepada masyarakat Islam setempat yang memerlukan. Sekiranya terdapat lebihan daging yang tidak dikehendaki oleh masyarakat Islam dalam masa yang sama terdapat kafir zimmi ذمي yang miskin yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam, maka bolehlah daging korban sunat tersebut diberikan kepada mereka atas konsep dakwah dan siasah syar’iah سياسة شرعية yang mana amalan ini bertepatan dengan ayat al-Quran yang menganjurkan berbuat baik kepada orang bukan Islam sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Mumtahinah الممتحنة ayat 8: ﵟلَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ﵞ [الممتحنة: 8] Ertinya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarka kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” Memberi daging korban sunat kepada kafir zimmi ذمي yang miskin yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam adalah termasuk dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh Allah S.W.T. sebagaimana yang terkandung dalam ayat tersebut di atas. Selain itu, terdapat juga hadis yang boleh dijadikan sandaran untuk menyatakan bahawa pemberian daging korban sunat kepada kafir zimmi ذمي adalah termasuk dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh syarak ialah sebuah hadis daripada Abdullah bin Amru al-‘Ash R.A. yang mana menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata : Adakah kamu telah menghadiahkan daging tersebut kepada jiran kita yahudi? (beliau menanyakan sebanyak 2 kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: "ما زال جبريل يوصيني بالجار حتى ظننت أنه سيورثه" Ertinya: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepada aku (berbuat baik) kepada jiran sehingga aku menyangka mereka menjadi sebagai pewaris.” والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI