Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

AJARAN MILLAH IBRAHIM
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: 1.Fahaman dan ajaran Millah Ibrahim @ Abraham adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen meragukan seperti berikut: i.Membawa ajaran dan kerajaan baru (Millah Ibrahim @ Abraham). ii.Mendakwa ada Rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W. iii.Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti Millah Ibrahim @Abraham. iv.Menggabungkan 3 ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. v.Menyalahertikan maksud kiamat. vi.Memahami Al Quran mengikut tafsiran sendiri. vii.Meninggalkan solat 5 waktu dan solat Jumaat. viii.Taksub dan memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri. ix.Perjanjian (baiah) oleh anggota Millah Ibrahim. 2.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang kepada fahaman atau ajaran Millah Ibrahim @ Abraham atau menjadi pengikut kepada fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mepunyai persamaan dengan fahaman atau ajaran tersebut dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. 3.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang berada di dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman atau ajaran Millah Ibrahim @ Abraham atau mereka berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. 4.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. 5.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi ahli atau pengikut kepada mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dengan berselindung disebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. 6.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya sama ada melalui apa-apa rangkaian atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. 7.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. 8.Apa-apa variasi bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. 9.Apa-apa jua bahan publisiti dan siaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana lama sesawang, blog, facebook, twitter, atau media sosial lain-lain adalah diharamkan. 10.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah juga dilarang memilik, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman video, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya. Semua pihak adalah dilarang dan ditegah daripada memberi apa jua kemudahan, sumbangan dan bantuan kepada mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya daripada mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran kumpulan tersebut di negeri Johor Darul Takzim. 11.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Johor Darul Takzim. 12.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang telah berbaiah (taat setia) dan mengamalkan fahaman atau ajaran Millah Ibrahim @ Abraham atau mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya di mana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI