Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

PANDANGAN DAN ULASAN BERKENAAN PELAKSANAAN HIBAH BERSYARAT
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: i. Menurut Jumhur Ulama dan pendapat yang muktamad dalam Mazhab As-Syafie Sighah Hibah Umra Dan Ruqba adalah sah dan terpakai. Walaubagaimanapun syarat yang terdapat pada Sighah Hibah Umra Dan Ruqba adalah batal dan tidak terpakai, berdasarkan maksud hadis: “ Mana-mana lelaki yang diberikan hibah secara umra baginya dan bagi ahli warisnya, maka hibah tersebut menjadi milik orang yang diberi itu, pemberian itu tidak kembali kepada orang yang memberi selama-lamanya, kerana bahawasanya orang yang memberi itu telah melakukan satu pemberian yang boleh dihukumkan sebagai satu pewarisan. (riwayat muslim) ii. Maka Hibah dengan sighah umra dan ruqba memberi kesan kepada pindah milik harta yang dihibahkan kepada penerima selepas pemberi hibah meninggal dunia. Syarat umra dan ruqba yang terdapat pada sighah hibah tersebut terbatal dan tidak berkuatkuasa, sekiranya penerima hibah meninggal dunia terlebih dahulu sebelum pemberi hibah ia tidak akan kembali kepada pemberi hibah sebaliknya menjadi pusaka untuk diwarisi oleh waris penerima hibah. Jika penerima hibah tidak mempunyai waris maka Baitulmal mempunyai hak terhadap harta yang dihibahkan kepada penerima hibah. iii. Justeru, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa sighah hibah umra dan ruqba adalah sah dan terpakai di Negeri Johor Darul Takzim. Walaubagaimanapun syarat yang terdapat pada sighah umra dan ruqba adalah batal dan tidak terpakai. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI