Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

FATWA AJARAN MERAGUKAN ISLAM AHLI SUNNAH WA ALA ALI MUHAMMAD ISA BIN HUSIN AL-MASIH
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: 1. Bahawa ajaran Islam Ahli Sunnah Waala Ali Muhammad yang dibawa oleh Isa Bin Husin (6005-01-610926) adalah ajaran sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam. Antara ciri-ciri kesesatan dalam fahaman Isa Bin Husin dan ajaran yang disebarkannya ialah: i. Mengaku bahawa Isa Bin Husin adalah utusan Allah (ulama) bergelar Isa sebagai penyampai Ahli Sunnah Waala Ali Muhammad. ii. Mentafsir ayat-ayat al-Quran mengikut fahamannya sendiri dan mendakwa ilmu memahami Al-Quran datang dari Allah Subhanahu Wataala. iii. Isa Bin Husin mendakwa beliau dikecualikan daripada menunaikan rukun Islam seperti menunaikan solat, puasa, zakat, dan haji kerana beliau telah pun berbaiah dengan Nabi Muhammad Sallawahu Alaihi Wasallam dan diiktiraf sebagai ahli syurga. Malah beliau mengatakan bahawa tuhan telah mengharamkannya untuk ke masjid. Beliau juga mengatakan bahawa Nabi Muhammad Sallawahu Alaihi Wasallam bersolat hanya bertujuan untuk menebus kesalahan umat manusia. iv. Bagi Isa Bin Husin amalan bermazhab, ilmu tafsir, ilmu tauhid, ilmu akidah, tarikat dan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di Johor adalah salah dan sesat. v. Mendakwa Nabi Muhammad Sallawahu Alaihi Wasallam memiliki anak yang dighaibkan dan mengatakan beliau merupakan keturunan anak lelaki tersebut. 2. Justeru, fahaman Isa Bin Husin dan ajaran yang dibawa olehnya hendaklah disekat dengan apa cara sekalipun daripada disebarkan di Negeri Johor Darul Takzim. 3. Isa Bin Husin hendaklah segera berhenti mengamalkan fahamannya atau kepercayaannya dan segera berhenti menyebarkan ajarannya kepada orang awam dalam apa jua bentuk dan cara penyebaran serta diperintahkan agar Isa Bin Husin hendaklah segera bertaubat dengan taubat nasuha. 4. Mana-mana orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran yang dibawa oleh Isa Bin Husin ini dan dilarang berpegang, mempercayai, menyebarkan dan mengamalkan ajaran ini dan mana-mana orang Islam yang telah terlibat dengan fahaman dan ajaran yang dibawa oleh Isa Bin Husin ini hendaklah segera bertaubat dengan taubat nasuha. 5. Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor hendaklah mengambil Isa Bin Husin dan pengikut-pengikut ajarannya untuk proses Istitabah. 6. Mana-mana pihak yang ingkar dengan fatwa ini adalah melakukan sesuatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah

chevron_left KEMBALI