Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

ISU HUKUM YANG TERDAPAT DALAM KITAB MAULID AL-BARZANJI KAJIAN OLEH SOHIBUL FADHILAH PROFESSOR MADYA DOKTOR ARIEF SALLEH BIN ROSMAN
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: i : Amalan menyambut Maulidurrasul , berzanji dan marhaban adalah tidak bercanggah dengan hukum syarak dan amalan tersebut adalah bid'ah hasanah. ii : Berdiri Ketika membaca selawat semasa marhaban adalah tidak bercanggah dengan hukum syarak. Namun, masyarakat Islam perlulah diberi kefahaman agar perkara yang membawa khurafat dijauhkan daripada amalan berzanji , seperti meletakkan kerusi khusus untuk menyambut kedatangan nabi atau melambai-lambai seolah-olah nabi datang dan seumpamanya. iii : Isu yang dibangkitkan oleh golongan anti-berzanji bahawa Syeikh Jaafar Al-Barzanji terpengaruh dengan pemikiran syiah atau beliau merupakan seorang syiah adalah dakwaan yang tidak disokong oleh data yang jelas dan benar. Bahkan tohmahan tersebut dilihat selari dengan tohmahan orientalis.Tohmahan ini ditolak dan ia tidak menjadikan isu ini sebagai alasan untuk mengharamkan amalan berzanji. iv : Puji-pujian kepada Nabi Muhammad S.A.W yang terkandung dalam kitab berzanji merupakan puji-pujian yang masih berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syarak.Oleh itu selawat yang terkandung dalam marhaban adalah tidak bercanggah dengan hukum syarak. v : Bertawassul dan beristighasah dengan Nabi Muhammad S.A.W, para nabi dan rasul, serta orang soleh, samada Ketika mereka masih hidup atau selepas mereka meninggal dunia, adalah dibenarkan oleh syarak, bahkan digalakkan. Oleh itu, tawassul dan istighasah yang terkandung dalam marhaban adalah tidak bercanggah dengan hukum syarak. vi : Berkenaan isu Nur Muhammad, Wahdatul wujud dan martabat tujuh tidak perlu dimasukkan dalam keputusan fatwa kerana ianya merupakan isu Ijtihadi dan orang awam tidak wajar diberi pendedahan kepada isu ini kerana ianya memerlukan kepada kefahaman yang mendalam supaya tidak keliru dan disalah ertikan yang akhirnya boleh membawa kepada pemahaman yang tidak menepati kehendak syarak. vii : Kesemua kisah berkaitan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W yang dinyatakan dalam Kitab Barzanji mempunyai sanad.Terdapat kisah yang bersumberkan nas dengan sanad yang sahih, walaupun sebahagian besarnya bersumberkan athar yang daif. Kisah tersebut tidak menimbulkan isu hukum Ia hanya dalam kategori irhasot iaitu keistimewaan Nabi Muhammad S.A.W sebelum baginda dilantik menjadi rasul dan juga Bushra berita gembira dengan kelahiran baginda S.A.W. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI