Perincian Soal Jawab Agama
Akidah
Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatu Mufti yang dihormati.
Kemusykilan:
Pasangan (salah seorang itu muallaf dari UK) telah bernikah di Johor Bahru dan pernikahan berdaftar dengan maij johor, setelah semakan status.
Dia menjalankan tanggungjawab yang dituntut oleh syarak.
Setelah beberapa tahun pernikahan, dia memberitahu dia berfahaman Ahmadi. Isterinya telah cuba memperbetul fahamannya ini namun tidak berjaya.
Jadi mereka meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.
Masih sahkah pernikahan setelah isteri tersebut mengetahui hal sebenarnya. Suaminya tidak berganjak dari fahaman tersebut dan tidak mau campurtangan sesiapa dalam hal kefahamannya untuk diperbetulkan.
Mas'alah sekiranya didapati tidak sah:
1. Suami akan dihantar pulang ke UK kerana dia bukan warga negara. Dia kini OKU setelah kehilangan kaki pada tahun 2017 dan tiada siapa yang boleh membantu beliau sekiranya dihantar pulang keUK. Isteri yang membawa suami untuk temujanji perubatan di hospital awam.
Diatas nasihat keluarga, isteri diminta memberitahu pihak berwajib untuk mendapatkan panduan untuk diri isteri tersebut, agar tidak bercanggah dengan hukum.
Kesahihan Pernikahan dengan seorang yang berfahaman Ahmadi
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarkatuh,
Dalam menjawab persoalan ini, jika yang dimaksudkan dengan fahaman Ahmadi yang dinyatakan dalam soalan merujuk kepada fahaman Ahmadiah/Qadiani, maka hukum mengenai kesahihan perkahwinan ini telah difatwakan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada tahun 2001. Demikian merupakan keputusan fatwanya:
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 1 Oktober 2001 telah membincangkan mengenai Ikatan Perkahwinan Kepada Pasangan Yang Suaminya Berfahaman Ahmadiah/Qadiani.
Alhamdulillah fatwanya:
Barangsiapa yang mempercayai, menganut, mengamal dan menghayati ajaran Ahmadiah/Qadiani adalah terkeluar dari Islam. Maka dengan itu, terfasakhlah ikatan pernikahannya.
Melalui fatwa ini telah jelaslah bahawa telah terfasakh hubungan perkahwinan suami dan isteri apabila salah seorang daripadanya menganut dan mempercayai ajaran ini.
Adapun bagi tindakan susulan, kami menyeru agar kes ini dirujuk kepada pihak Mahkamah Syariah yang terdekat agar dapat diperincikan oleh pihak mahkamah lalu diputuskan mengenai status perkahwinan itu.