Loading...

Perincian Soal Jawab Agama

Akidah
Assalamualaikum.. Saya hendak tahu hukum bina kepuk sementara di kubur. Terima kasih.
Waalaikumussalam Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam kepada junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat baginda sekelian. Membina kepok atau binaan di kubur merupakan perkara yang sering menjadi persoalan dikalangan umat Islam. Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama. Tujuan asasnya adalah supaya tanah tidak roboh, bagi membezakan antara tanah kubur dan bukan, agar tidak dipijak dan menjadi jalan. Jika binaannya rendah dan tidak menunjukkan kepada pembaziran, tetapi sekadar membuat orang mengenali kubur tertentu di samping menjaga kebersihannya, maka kami cenderung hukumnya ialah harus. Kami berpendapat bahawa binaan kepok di kubur yang berlebih-lebihan adalah tidak dibenarkan bahkan bercanggah dengan sifat Islam yang sebenar. Di dalam kitab Fiqh al-Manhaji (1/617-618): Makruh membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir RA, katanya: نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.” Riwayat Muslim (970) Walau bagaimanapun pembinaan kubur dengan batu marmar dan seumpamanya adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan larangan Rasulullah SAW di samping terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah oleh syarak serta unsur-unsur kemegahan dan kebanggaan yang dicela oleh agama. Makruh tahrim meninggikan kubur dan membuat binaan di atasnya sebagaimana yang dibuat oleh kebanyakan orang hari ini. Menurut sunnah bahawa kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali bin Abu Talib RA, katanya, Abu al-Hayyaj al-Asadiy berkata: أَلاَّ أَبْعَثُكَ عَلَى مَا بَعَثَنِى عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لاَ تَدَعَ تِمْثَالاً إِلاَّ طَمَسْتَهُ وَلاَ قَبْرًا مُشْرِفًا إِلاَّ سَوَّيْتَهُ Maksudnya: “Aku menyampaikan pesanan Rasulullah SAW kepadaku bahawa jangan ditinggalkan patung-patung kecuali setelah engkau hancurkannya, begitu juga dengan kubur yang binaannya tinggi kecuali setelah engkau ratakannya.” Riwayat Muslim (969) Wallahu 'alam