Loading...

Perincian Soal Jawab Agama

Akidah
Assalamualaikum, Saya ada soalan. Pada pandangan Islam, apakah maksud jika ada anak ular hitam masuk ke dalam rumah? Jumlahnya boleh seekor, boleh juga lebih. Seterusnya, dari segi Islam, apa yang sepatutnya kita lakukan jika nampak ular di dalam rumah. Boleh terus bunuh atau ada cara lain? Terima kasih.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Ular antara haiwan yang berbahaya dan memberi mudarat kepada manusia. Terdapat beberapa riwayat hadis yang menunjukkan bahawa Baginda SAW memerintahkan agar ular dibunuh sama ada dalam keadaan berihram atau tidak ihram. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda : أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ مُحْرِمًا بِقَتْلِ حَيَّةٍ بِمِنًى Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan orang yang sedang berihram untuk membunuh ular di Mina” Riwayat Muslim (2235) Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa seseorang yang sedang berihram diharuskan untuk membunuh ular. Sepertimana yang diketahui orang dalam keadaan ihram dilarang untuk membunuh binatang, namun syarak memberi pengecualian terhadap binatang-binatang pengganggu, bahkan hukumnya sunat dibunuh untuk menghindari kemudaratan. ( Lihat : Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/ 234) Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda : خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا Maksudnya : “ Lima binatang fawasiq yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram (atau dalam keadaan berihram) iaitu ular, burung gagak hitam bercampur putih, tikus, anjing gila, burung helang Riwayat Muslim 1198, Riwayat Bukhari 3314 Perkataan fawasiq yang dinyatakan di dalam hadis memberi makna binatang-binatang pengganggu dan perosak. Berpandukan hadis ini juga, majoriti ulama bersepakat bahawa harus membunuh binatang-binatang tersebut sama ada di tanah haram (Mekah dan Madinah) dan juga di luar tanah haram. ( Lihat : Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/ 113-114). Berdasarkan dalil yang dibentangkan, ular termasuk dalam lima kelompok haiwan penggangu (fawasiq) yang dibolehkan untuk dibunuh. Hal ini kerana haiwan tersebut memudaratkan dan berbahaya kepada manusia. Wallahu 'alam.