Perincian Soal Jawab Agama
Ibadah
Assalammualaikum,
Adakah solat Fardu Jumaat boleh di jamak dgn solat fardu asar (Jamak Taqdim)?
Bagaimana niat dan cara menunaikannya?
Terima kasih
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين
Harus bagi seseorang musafir itu melakukan solat zohor dan asar secara jamak taqdim dan taakhir, atau maghrib dan isyak secara taqdim dan takhir. Menurut Imam Khatib Syarbini dalam Iqna’, solat jumaat juga seperti solat zohor jika hendak dilakukan solat secara jamak taqdim. Kata beliau:
وَالْجُمُعَةُ كَالظُّهْرِ فِي جَمْعِ التَّقْدِيمِ
“Solat Jumaat adalah seperti solat Zuhur dari sudut keharusan jamak taqdim.”
(Iqna’ : 1/174)
Imam al-Bujairimi menjelaskan bahawa sekiranya seseorang musafir memasuki sesebuah tempat atau perkampungan dalam perjalanannya, lalu dia memilih untuk menunaikan solat Jumaat di situ, maka diharuskan baginya dalam keadaan tersebut untuk menghimpunkan solat Asar bersama solat Jumaat secara jamak taqdim. Tambahan pula, tidak boleh untuk menghimpunkannya secara jamak takhir, kerana solat tersebut tidak boleh ditangguhkan daripada waktunya. (Hasyiah Bujairimi ala Khatib: 2/175)
Cara menunaikannya:
- Solat Jumaat secara berjemaah.
- Niat solat fardu jumaat dan solat asar secara jamak taqdim ketika dalam waktu solat Jumaat. Kata Imam Nawawi:
يَجُوزُ مَعَ الْإِحْرَامِ بِالْأُولَى أَوْ فِي أَثْنَائِهَا أَوْ مَعَ التَّحَلُّلِ مِنْهَا
“Diharuskan (melakukan niat jamak) bersama takbiratul ihram solat yang pertama,
atau ketika sedang melaksanakannya, atau ketika selesai daripada solat.”
Menurut Imam Nawawi, sah seseorang itu niat jamak taqdim sama ada pada ketika takbiratul ihram solat pertama, atau ketika dalam solat atau niat jamak ketika selesai daripada solat iaitu ketika memberi salam dalam solat. (Majmu’ Syarh Muhazzab 4/375). Namun, sunat niat jamak bersama takbiratul ihram sebagai keluar daripada khilaf. (Busyra Karim m/s 377).
- Seseorang itu mestilah masih dalam keadaan musafir sehingga memulakan solat yang kedua iaitu ketika takbiratul ihram solat kedua.
- Setelah selesai solat Jumaat, bangun semula untuk mengerjakan solat qasar asar.
Cara niat bagi menghimpunkan solat Jumaat dan solat Asar:
أُصَلِّي فَرْضَ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا مَجْمُوعًا إلَيْهِ الْعَصْرِ لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat menjadi makmum dan dihimpunkan dengan asar kerana Allah Taala.”
والله أعلم