Loading...

Perincian Soal Jawab Agama

Muamalat
Persoalan Hukum Mengenai Blind Box / Mystery Box Assalamualaikum. Sekarang ramai yang beli blind box atau mystery box yang dijual. Walaupon penjual ada berikan diskripsi mengenai jenis dan barang yang akan kami dapat, tetapi kami tak tahu dapat yang mana satu. Kalau dari segi hukum, benda ni haram ke? Sebab saya macam nak beli jugak tapi saya takut haram. Harap dapat menjawab soalan saya. Terima kasih.
اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ Secara ringkas, Mystery Box atau Kotak Misteri atau semisal dengannya adalah kotak/paket yang tidak diketahui isinya secara pasti, tetapi disertai dengan gambaran mengenai barang yang mungkin diterima oleh pembeli. Dalam mazhab Syafie, antara syarat sah barang yang dijual itu adalah barang tersebut mestilah diketahui oleh pihak pembeli dan penjual dari sudut kadar, sifat dan bentuk barang yang ingin dijadikan sebagai al-mabi’ (barang yang dijual). Berdasarkan syarat yang disebutkan diatas, jika barang tersebut tidak dapat ditentukan secara jelas, maka hukum jual beli barang tersebut adalah haram dan tidak sah. Hal ini berdasarkan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah telah bersabda: نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ وَعَنْ بَيْعِ ‌الْغَرَرِ “Rasulullah ﷺ melarang jual beli al-ḥaṣāh dan jual beli yang mengandungi gharar (ketidakjelasan/penipuan).” -Riwayat Imam Muslim (1513)- Berdasarkan hadis ini, Imam Nawawi juga memberikan penjelasan bahawa asal hukum jual beli yang mempunyai unsur ketidakjelasan, penipuan dan tidak diketahui adalah tidak sah. Kata beliau dalam Majmu’(9/258): الْأَصْلُ أَنَّ بَيْعَ الْغَرَرِ بَاطِلٌ لِهَذَا الْحَدِيثِ وَالْمُرَادُ مَا كَانَ فِيهِ غَرَرٌ ظَاهِرٌ يُمْكِنُ الِاحْتِرَازُ عَنْهُ “Hukum asal jual beli yang mengandungi gharar adalah batil (tidak sah) berdasarkan hadis ini. Yang dimaksudkan ialah gharar yang nyata dan boleh dielakkan” Kesimpulannya, kami sarankan agar tidak membeli “Blind Box” atau “Mystery Box” dan barang-barang yang tidak mempunyai maklumat yang jelas, tidak diketahui kadar dan sifatnya kerana perkara tersebut dilarang dalam syarak bahkan membawa kepada sikap tidak puas hati dan tidak reda antara pembeli dan penjual. واللَّه أعلم