Loading...

Perincian Soal Jawab Agama

Zakat
Pembayaran Zakat Untuk Emas 999.9 Dan 916. Saya Encik Aji, ingin bertanya untuk pembayaran zakat untuk emas 999.9 dan 916 perlu disatukan atau asing- asing untuk pembayaran zakat.
اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ Emas yang digunakan dalam pembayaran zakat mestilah emas tulen (mengikut emas kini adalah emas 999). Imam Nawawi menyatakan dalam kitab beliau, Majmu’ (6/19): قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَنَا أَنَّهُ لَا زَكَاةَ فِي الْمَغْشُوشِ مِنْ ذَهَبٍ وَلَا فِضَّةٍ حَتَّى يَبْلُغَ خَالِصُهُ نِصَابًا وَبِهِ قَالَ جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ “Kami telah menyebutkan bahawa mazhab kami menyatakan: Tidak wajib zakat ke atas emas atau perak yang bercampur (tidak tulen), kecuali apabila kandungan bersih (tulen) daripada emas atau peraknya mencapai kadar nisab. Inilah pendapat majoriti (jumhur) ulama.” Imam Damiri menjelaskan permasalahan ini dalam Najmul Wahhaj (3/188), kata beliau: فَإِذَا بَلَغَتْ فِضَّةُ الدَّرَاهِمِ الْمَغْشُوشَةِ مِثْلًا نِصَابًا، أَخْرَجَ قَدْرَ الْوَاجِبِ فِضَّةً خَالِصَةً، أَوْ أَخْرَجَ مِنَ الْمَغْشُوشِ مَا يُعْلَمُ أَنَّهُ يَشْتَمِلُ عَلَى قَدْرِ الْوَاجِبِ. “Apabila perak dalam bentuk dirham yang bercampur (tidak tulen) mencapai kadar nisab, maka hendaklah dikeluarkan zakat dengan kadar wajib daripada perak yang tulen, atau dikeluarkan daripada yang bercampur sekadar yang diketahui mengandungi kadar yang wajib (daripada perak tulen).” Jika seseorang memiliki emas atau perak yang tidak tulen (mengandungi campuran logam lain), maka wajib mengeluarkan zakat sekiranya kandungan tulennya mencapai nisab (85g untuk emas, 595g untuk perak). Maka, ada dua pilihan: Mengeluarkan zakat dalam bentuk emas/perak tulen. Mengeluarkan zakat daripada emas dan perak yang bercampur dengan logam lain, dengan syarat perlu dipastikan ia mengandungi kandungan tulen secukupnya. Kesimpulannya, pembayaran zakat mestilah ditunaikan mengikut nisab emas 999 atau nilai harga emas tersebut mengikut apa yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Sebaiknya, kita rujuk kepada Majlis Agama Islam dalam menguruskan pembayaran zakat agar lebih selamat dan teliti. Firman Allah Taala dalam Surah An-Nahl ayat 43: فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." واللَّه أعلم