Perincian Soal Jawab Agama
Perubatan
Assalamualaikum Tuan mufti dan staff jabatan mufti.
Saya ada dengar berkaitan mandi bunga atau urutan badan dapat membantu golongan TTC (Trying To Conceive) atau pasangan yang berusaha untuk hamil untuk cepat dapat anak.
Apakah pandangan dari segi agama berkaitan perkara ini?
Mohon pencerahan
Sekian terima kasih
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين
Hukum mandi bunga atau urutan badan sebagai ikhtiyar bagi menjaga kesihatan dan kesegaran tubuh badan untuk mendapat anak adalah harus selagi tidak disertakan dengan unsur syirik dan khurafat yang menyalahi syarak. Nabi Muhammad telah bersabda:
الْحَلَالُ مَا أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ، وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللهُ فِي كِتَابِهِ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا عَنْهُ
“Apa yang dihalalkan oleh Allah dalam kitab-Nya (al-Qur'an), itulah yang halal. Dan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab-Nya,
itulah yang haram. Manakala perkara-perkara yang tidak disebut oleh-Nya, maka ia termasuk dalam perkara yang Allah beri
keampunan (dibolehkan dan tidak berdosa jika dilakukan).”
(Riwayat Imam Tabrani dalam Mu’jam Kabir, hadis ke-6124)
Kaedah Fiqh juga menyatakan,
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
“Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus, sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”
(Asybah wa Nazair, m/s 60)
Tambahan pula, Kita sebagai hamba Allah mestilah berdoa dan meminta pertolongan dari-Nya agar kita mendapat zuriat yang soleh dan solehah sepertimana doa Nabi Musa tatkala dihimpit perasaannya dengan tekanan oleh Firaun. Firman Allah SWT:
فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maksudnya: Maka (Nabi Musa pun berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang
rezeki pemberian yang Engkau berikan".
(Surah al-Qasas, 28:24)
Wallahua`lam.