Perincian Soal Jawab Agama
Ibadah
Assalamualikum ustaz/ustazah,
Saya nak tanya apa ye hukum sewaktu kita nampak tanah perkuburan, kita bagi salam dan boleh ke sewaktu itu kita terus baca al-fatihah untuk mereka?
بسم الله الرحمن الرحيم
Apabila kita lalu atau berada di tanah perkuburan, sunat untuk memberi salam kepada ahli kubur sebagai penghormatan dan menzahirkan sikap kesedaran kita dalam mengingati mati dan akhirat. Dalam Sahih Muslim, diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa apabila Rasulullah ﷺ tiba di tanah perkuburan, Baginda bersabda:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ. وَإِنَّا، إِنْ شَاءَ اللَّهُ، بِكُمْ لَاحِقُونَ
“Salam sejahtera ke atas kamu, wahai rumah orang-orang beriman. Sesungguhnya, jika Allah mengkehendaki,
kami akan menyusul kamu.”
(Sahih Muslim, hadis ke-39 dan 249)
Berdasarkan dalil ini, Imam Ruyani menyatakan dalam kitab Bahrul Mazhab bahawa sunat memberi salam kepada ahli kubur apabila seseorang itu melintasi melintasi tanah perkuburan. (Rujukan: Bahrul Mazhab 2/602). Selain itu, hukum membaca Al-Fatihah untuk si mati adalah harus berdasarkan dalil umum hadis. Rasulullah ﷺ bersabda:
اقْرَؤوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
“Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat bagi pemiliknya.”
(Riwayat Muslim, Hadis ke-804)
Syeikh al-Uthmani menyatakan dalam kitabnya, Rahmat al-Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah:
وأَجمَعُوا على أنَّ الِاستِغفارَ والدعاءَ والصدقةَ والحجَّ والعِتْقَ تَنْفَعُ الميتَ ويَصِلُ إليه ثَوَابُهُ، وقراءةُ القرآنِ عند القبر مُستَحَبَّةٌ
“Para ulama bersepakat bahawa istighfar, doa, sedekah, haji dan memerdekakan hamba boleh memberi manfaat kepada orang yang
telah meninggal, dan membaca al-Quran di kubur adalah disunatkan.’’
والله أعلم