Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MOHON FATWA MEMINDAHKAN KUBUR LAMA DI KAWASAN KAMPUNG SUNGAI BOH,MUKIM SUNGAI KARANG,PONTIAN
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: 1. “Tiada apa-apa halangan dan bersetuju diatas permohonan memindahkan kubur-kubur lama yang terdapat dikawasan tanah wakaf lama Kampung Sungai Boh Mukim Sungai Karang Pontian,Johor (tanah persendirian yang diwakafkan). 2. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada : a. Kawasan tanah perkuburan tersebut adalah merupakan tanah gambut berpaya bakau dan berada di tepi laut. b. Kawasan tersebut dinaiki air apabila air laut pasang dan menjejaskan kawasan kubur. c. Tidak berjaga, kawasan semak belukar dan tiada tempat laluan jalan masuk ke kawasan tersebut dan tempat babi mencari makan. d. Pemindahan ini dilakukan kerana ingin memuliakan mayat dengan dipindahkan ke tempat yang lebih baik . 3. Pihak yang berwajib hendaklah memastikan terlebih dahulu jumlah kuburan yang bertanda (mempunyai nisan) dan tidak bertanda (tidak bernisan) dengan apa cara yang boleh membantu pengesanan tersebut. 4. Pihak yang bertanggungjawab terutama pekerja-pekerja pemindahan hendaklah mengambil kira pandangan orang kampung sekiranya memberi pandangan bahawa kawasan yang terlebih dengan pemindahan itu mungkin terdapat lebih daripada 50 buah kubur yang perlu dipindahkan. 5. Pekerja yang akan melakukan yang penggalian dan pemindahan hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan kemahiran di dalam kerja-kerja dan tugas operasi penggalian dan pemindahan mayat. 6. Segala kos dan perbelanjaan untuk tujuan melaksanakan pemindahan ini ditanggung oleh bahagian wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor. 7. Sewaktu pemindahan mayat-mayat dari kubur ke tempat atau kawasan lain dijalankan syarat-syarat berikut hendaklah diikuti : i. Pekerja yang terlibat dalam pemindahan ini hendaklah berniat bahawa kerja-kerja ini dilakukan demi kepentingan dan kemaslahatan umum kerana Allah Taala. ii. Kerja-kerja pemindahan hendaklah dilakukan dengan penuh cermat dan teliti berhati-hati dengan penuh adab dan disiplin. iii. Pekerja pekerja pemindahan hendaklah beragama islam dan menutup aurat iv. Sekiranya ada waris kepada mayat-mayat yang dikebumikan di kawasan yang tersebut hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada mereka (waris) v. Sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan hendaklah mendapatkan surat kebenaran daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (cawangan Hal Ehwal dalam) Pejabat Kesihatan dan pihak polis vi. Semasa kerja-kerja pemindahan di lakukan hendaklah dihadiri oleh: A. Kadi daerah atau wakil B. Polis Penghulu C. Ketua kampung D. Pegawai Pejabat Kesihatan E. Pengerusi masjid atau wakil F. Imam masjid G. Mereka yang difikirkan perlu oleh Penghulu vii. sebelum kerja-kerja pemindahan kubur dilakukan dicadangkan diadakan Majlis Tahlil dan Doa Arwah bagi dihadiahkan kepada arwah yang telah dikebumikan Nah perkuburan tersebut juga membaca doa selamat agar segala kerja-kerja yang akan dijalankan berjalan dengan lancar tanpa gangguan dan halangan. ” والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI