Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MENGUNAKAN TANAH WAKAF MASJID DAN SURAU NEGERI JOHOR UNTUK AKTIVITI EKONOMI
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: "Adalah diharuskan untuk membina menara telekomunikasi samada berbentuk kubah atau menara lampu limpah bagi syarikat milik celcom sahaja, dan bukan syarikat-syarikat yang lain. Kebenaran adalah berdasarkan syarat-syarat yang ketat yang perlu dipatuhi sebagaimana berikut:- i. Telah mendapat keputusan yang membenarkan daripada:- a. Jawatankuasa Syariah Negeri Johor. b. Jawatankuasa Wakaf Negeri Johor. c. Majlis Agama Islam Johor. ii. Hendaklah diadakan perjanjian (MOU) bersama Jawatankuasa Wakaf Negeri Johor. iii. Kegunaan atau jangkamasa menara hanyalah dalam waktu tertentu sahaja bukan untuk selama-lamanya. iv. Majlis Agama Islam Johor boleh membatalkan MOU pada bila-bila masa sekiranya keperluan asal hujah Wakaf timbul, tanpa dikenakan sebarang bayaran gantirugi atau pampasan. v. Hendaklah penggunaan dan pembinaan tersebut tidak menghalang perkara-perkara yang menyempurnakan kehendak masjid seperti tempat letak kereta bagi para jemaah, kawasan untuk masakan bagi majlis kenduri dan sebagainya. vi. Hendaklah menggunakan kawasan paling tepi sebelah belakang yang bukan menghadap kiblat daripada tanah wakaf tersebut (bagi lampu limpah). vii. Menara (lampu limpah) yang dibina hendaklah lebih rendah daripada menara masjid. Kedudukannya bukan di tempat yang strategi. viii. Pembinaan menara lampu limpah dicadangkan mempunyai bentuk ciri-ciri kesenian Islam. ix. Penggunaan alat tersebut tidak memudaratkan kesihatan penduduk setempat. x. Tujuan penggunaan alatan tersebut bukan berunsur maksiat. xi. Hendaklah alat pemancar yang dibina bersama kubah terselindung dan berada di dalam kubah. xii. Pandangan pada keseluruhan setelah pembinaan dilakukan tidak mencacatkan pandangan yang boleh menjatuhkan kesucian dan martabat surau atau masjid. xiii. Penyelenggaraan apabila berlaku kerosakan dicadangkan dijalankan oleh orang Islam dengan menjaga adab- adab serta pakaian untuk mengelakkan fitnah dan salah anggap oleh sebahagian daripada masyarakat Islam. xiv. Kadar sewaan adalah mengikut kadar semasa atau lebih tinggi. xv. Kawasan yang digunakan adalah sebahagian kecil daripada kawasan tanah wakaf. xvi. Tempat (lokasi) pencawang dan pusat kawalan adalah ditentukan oleh Majlis Agama Islam Johor. والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI