Loading...

Perincian Keputusan Fatwa

MOHON FATWA AJARAN ARIFFIN BIN MOHAMMAD@AYAH PIN
بسم الله الرحمن الرحيم Setelah dilihat dan dibahaskan dengan teliti dari setiap sudut, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor membuat keputusan seperti berikut: “Alhamdulillah fatwanya adalah seperti berikut ; 1. Bahawasanya kepercayaan, ajaran,amalan dan pegangan Ariffin bin Mohamad @ Ayah Pin adalah karut, palsu, sesat lagi menyesatkan, menyeleweng, bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak serta boleh membawa ancaman kepada ummah, negara dan ketenteraman orang awam kerana antara kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya: i.Menghina Allah S.W.T , Rasulullah S.A.W dan umat islam. ii.Menghina dan mempersenda rukun iman dan rukun islam. iii.Kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya mengandungi unsur kesatuan agama yang sekaligus boleh diertikan mengiktiraf kebenaran agama selain islam. iv.Mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaibiyyat iaitu perkara-perkara yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah S.W.T seperti syurga dan neraka. v.Mendakwa kiamat tidak akan berlaku. vi.Mendakwa bahawa al-quran adalah usaha (ciptaan) daripada Nabi Muhammad S.A.W yang dicantumkan daripada kitab Zabur, Taurat dan Injil. vii.Memuji-muji ayah pin dengan bersyair atau bernazam lebih afdhal daripada berzikir dan sembahyang. viii.Sembahyang lima waktu tidak wajib dan mengerjakan amalan haji adalah suatu yang sia-sia. 2. Oleh yang demikian, orang islam di negeri ini, dilarang melibatkan diri dengan kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangan Ariffin Bin Mohamad @ Ayah Pin samada dengan cara : i.Mempercayai atau mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang lain; atau ii.Mempercayai atau mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang lain; Atau menyimpan atau mencetak atau menyalin atau mempamer atau menjual, membeli atau mengambil gambar atau menerima dan memberi hadiah atau menyebarkan apa-apa maklumat berkaitan dengan kepercayaan, ajaran, amalan, pegangan dan kegiatannya samada melalui media cetak atau media eletronik; atau iii. Menjalankan upacara atau apa sahaja kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya seterusnya membuat lawatan atau kunjungan, mengundang atau menerima kehadirannya (Ayah Pin) atau pengikut-pengikutnya samada untuk menyebarkan kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya atau tujuan-tujuan yang lain seterusnya memberikan sokongan moral atau material atau kedua-duanya sekali kepadanya atau sesiapa yang terlibat dengan kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya.” والله اعلم بالصواب

Lampiran Hujah Fatwa

Klik pada tajuk lampiran untuk muat turun hujah


TIADA SEBARANG LAMPIRAN FAIL DIMUAT NAIK UNTUK FATWA INI.
chevron_left KEMBALI