home
Laman Utama
content_paste
Fatwa Negeri Johor
Himpunan Fatwa Negeri Johor
Fatwa Mengikut Kategori
Fatwa Diwartakan
Fatwa Tidak Warta
assignment
Soal Jawab Agama
Himpunan Soal Jawab
Soal Jawab Mengikut Kategori
Maklum Balas Soal Jawab
Semakan Soal Jawab
explore
Permohonan Kiblat
chevron right
Permohonan Pengukuran Arah Kiblat
Semakan Permohonan Arah Kiblat
menu_book
Manual Pengguna
language
Website Jab Mufti
Toggle navigation
Detail Soal Jawab Agama
Soalan :
Assalamualaikum Tuan Mufti, Saya suami kepada isteri yang bekerja dengan salah satu Hospital Kerajaan di Kuala Lumpur. Setiap tahun beliau perlu menghadiri Kursus Kerja selama 2 atau 3 hari di tempat yang ditetapkan. Kursus ini lebih kepada program Team Building yang mana setiap aktiviti perlu dibuat bersama-sama antara peserta lelaki dan perempuan. Masalahnya ada aktiviti yang dilaksanakan akan terjadi persentuhan fizikal antara sesama mereka disebabkan aktiviti itu sendiri yang memerlukan setiap peserta bercampur baur dan rapat. Aktiviti di dalam kolam atau sungai juga dilakukan bersama sesama mereka semasa berada di dalam air, ini pastinya mendedahkan aurat wanita apabila pakaian basah. Selain itu aktiviti persembahan pada waktu malam pula ada yang melibatkan tarian dan nyanyian di atas pentas campur lelaki wanita. Mohon pencerahan dan Jawapan, apa yang sepatutnya saya sebagai suami lakukan. Sekian Terima Kasih
Tahun Dikeluarkan :
Kategori :
Jawapan :
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته Isu yang dibangkitkan oleh saudara adalah melibatkan tanggungjawab suami, penjagaan aurat, dan batasan pergaulan lelaki dan wanita (ikhtilat) dalam situasi tuntutan pekerjaan. Secara ringkasnya, maklum balas yang diberikan dinyatakan sebagaimana berikut ; 1. Tanggungjawab Suami Menjaga Keluarga Suami mempunyai tanggungjawab dalam urusan kepimpinan dan perlu memastikan keluarganya berada dalam landasan syarak. Oleh itu kegusaran atau kebimbangan saudara terhadap perkara yang melanggar syariat adalah wajar. Allah SWT berfirman: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.”(Surah Surah At-Tahrim : ayat 6) Rasulullah SAW juga bersabda: كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya.” (Riwayat Sahih al- Bukhari dan Sahih Muslim) 2. Hukum Aktiviti Yang Melibatkan Sentuhan dan Ikhtilat Dalam Islam terdapat beberapa garis panduan asas: i. Larangan Sentuhan Lelaki dan Wanita Bukan Mahram Para ulama menjelaskan bahawa sentuhan fizikal antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah tidak dibenarkan kecuali darurat. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ditusuk kepala seseorang dengan jarum besi lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (Riwayat al-Tabarani) Maka aktiviti team building yang mewajibkan sentuhan fizikal antara lelaki dan wanita sebenarnya tidak selari dengan adab syarak dan wajar dielakkan. ii. Isu Aurat dan Aktiviti Air Apabila pakaian menjadi basah sehingga menampakkan bentuk tubuh, ia termasuk dalam perkara yang ditegah. Rasulullah SAW menyebut tentang wanita: كاسيات عاريات “Berpakaian tetapi seakan-akan telanjang.”(Riwayat Muslim) Keadaan pakaian basah yang menampakkan bentuk badan boleh termasuk dalam maksud tersebut jika aurat tidak lagi terpelihara. iii. Persembahan Tarian Campur Lelaki dan Wanita Tarian bercampur yang melibatkan pergaulan bebas, gerakan yang menarik perhatian dan hiburan melalaikan tidak selari dengan prinsip menjaga maruah dan adab Islam, khususnya jika melibatkan aurat, sentuhan atau gerakan yang menggoda. 3. Kedudukan Isteri Dalam Tuntutan Kerja Jika kursus itu wajib dari sudut pekerjaan, maka perlu dilihat beberapa perkara: i. Isteri boleh meminta aktiviti tertentu seperti aktiviti air bercampur, aktiviti yang melibatkan sentuhan fizikal dan persembahan tarian dikecualikan. Menjadi hak isteri untuk mempertahankan privasi dirinya atas dasar menjaga batasan agama. Langkah ini boleh dilakukan dengan cara memaklumkan dengan penuh hikmah kepada pihak pengendali atas ketidaksanggupan isteri untuk menyertai secara langsung aktiviti-aktiviti tersebut. Manakala bagi aktiviti lain seperti ceramah dan Latihan dalam Kumpulan (LDK) yang tidak menyalahi syarak perlu diikuti dengan penuh komited. Sekiranya terdapat unsur paksaan atau provokasi hingga mencemarkan maruah diri, maka tidak ada masalah untuk isteri membuat aduan kepada pihak atasan dan memberi komentar negatif terhadap prestasi pengendalian kursus tersebut oleh pihak konsultan. Dalam konteks ini, sebenarnya banyak institusi kerajaan telah lebih peka dan menitikberatkan sensitiviti agama dan budaya dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan apatah jika ia dimaklumkan dengan baik. ii. Pada masa akan datang, tidak ada salahnya bagi isteri yang diarahkan untuk mengikuti kursus untuk mendapatkan gambaran awal berkenaan program yang dianjurkan daripada pihak majikan. Namun ia bukanlah bertujuan untuk mempertikaikan apa-apa dasar atau polisi yang telah ditetapkan oleh jabatan. Sekurang-kurangnya isteri telah mendapat maklumat dan bersedia dengan perjalanan kursus atau program tersebut. 4. Apa Yang Sepatutnya Suami Lakukan Dalam menghadapi situasi ini, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah berbincang dengan isteri secara penuh hikmah. Perbincangan itu bukan dalam bentuk larangan keras semata-mata, tetapi lebih kepada berkongsi kefahaman tentang prinsip syarak serta kebimbangan seorang suami dalam menjaga maruah dan keharmonian keluarga. Nada yang tenang dan penuh kasih akan lebih mudah menyentuh hati berbanding pendekatan yang tegas tanpa ruang dialog. Dalam masa yang sama, penting untuk mencari jalan tengah agar tuntutan kerja dapat dipenuhi tanpa mengabaikan batas agama. Isteri boleh hadir ke kursus tersebut sebagai tanggungjawab profesional, namun dalam masa yang sama berusaha menolak atau mengelakkan aktiviti yang jelas melanggar syarak. Di samping itu, menjaga pakaian dan batas pergaulan sepanjang program berlangsung adalah satu bentuk usaha menjaga diri yang sangat dituntut dalam Islam. Selain itu, boleh juga diusahakan permohonan penyesuaian dengan pihak penganjur secara baik dan berhemah. Contohnya dengan mencadangkan agar aktiviti tertentu diasingkan antara lelaki dan wanita, atau memohon untuk tidak terlibat dalam aktiviti air yang bercampur serta persembahan yang melibatkan unsur tarian. Kebiasaannya, jika disampaikan dengan cara yang profesional dan beradab, pihak penganjur akan lebih terbuka untuk mempertimbangkan. Akhir sekali, jangan dilupakan kekuatan doa dan usaha membina kefahaman agama dalam rumahtangga. Keluarga yang baik tidak terbina dengan paksaan semata-mata, tetapi melalui nasihat yang berterusan, doa yang tidak putus, serta kesedaran yang lahir daripada hati. Kesimpulannya, kebimbangan yang dirasai oleh saudara sebenarnya bertepatan dengan prinsip syarak dalam menjaga batas pergaulan dan aurat. Aktiviti yang melibatkan sentuhan antara lelaki dan wanita bukan mahram, pendedahan aurat serta hiburan yang tidak terkawal sememangnya perlu dielakkan. Namun, pendekatan terbaik dalam situasi ini ialah melalui perbincangan yang berhikmah dengan isteri serta usaha mencari penyesuaian dengan pihak penganjur, tanpa terus menolak atau melarang perkara yang pada asasnya merupakan tuntutan kerja yang halal. والله أعلم بالصواب
chevron_left
Kembali