home
Laman Utama
content_paste
Fatwa Negeri Johor
Himpunan Fatwa Negeri Johor
Fatwa Mengikut Kategori
Fatwa Diwartakan
Fatwa Tidak Warta
assignment
Soal Jawab Agama
Himpunan Soal Jawab
Soal Jawab Mengikut Kategori
Maklum Balas Soal Jawab
Semakan Soal Jawab
explore
Permohonan Kiblat
chevron right
Permohonan Pengukuran Arah Kiblat
Semakan Permohonan Arah Kiblat
menu_book
Manual Pengguna
language
Website Jab Mufti
Toggle navigation
Detail Soal Jawab Agama
Soalan :
Assalammualaikum ustaz/ustazah. Saya Fadzila ingin bertanya soalan berkenaan hukum menjual insurans. Saya bekerja di salah sebuah institusi perbankan hampir 6 tahun sebagai insurans specialist iaitu menjual produk insurans konvensional di bank. Apakah hukum menjual insurans? Adakah gaji yang saya terima haram? Dan jika haram perlukah saya meletakkan jawatan saya di institusi perbankan tersebut? Terima kasih ustaz/ustazah
Tahun Dikeluarkan :
Kategori :
Jawapan :
Waalaikumussalam Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat. Allah SWT berfirman: وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ Maksudnya: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.” Surah al-Ma’idah (88) Ayat ini jelas menunjukkan kewajipan mencari dan memakan rezeki yang halal lagi baik. Lafaz makan dalam ayat ini adalah umum merangkumi segala perbuatan yang lain seperti minum, pakai, menaiki dan sebagainya. Hal ini termasuklah bekerja bagi menyara kehidupan seharian, mestilah ditekankan agar punca rezeki dan mata pencarian datangnya daripada sumber yang halal. Hal ini kerana setiap apa yang menjadi rezeki atau yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Pada asasnya, jika pekerjaan itu tidak melibatkan riba, maka ia diharuskan. Walau bagaimanapun, bank konvensional merupakan institusi perbankan yang terlibat dengan riba. Oleh yang demikian, adalah lebih baik agar pihak puan berusaha sebaik mungkin mencari pekerjaan yang lebih diyakini. Hal ini tentunya akan berbeza antara setiap individu dengan individu yang lain serta kesusahan yang dihadapi untuk mendapat pekerjaan lain. Oleh itu, para pekerja tidak perlu tergesa-gesa berhenti daripada pekerjaan sedia ada sehinggalah mendapat pekerjaan lain yang sesuai dan diyakini halal dari sudut pekerjaan dan pendapatannya. Di negara kita, hasil daripada sokongan dan bantuan kerajaan, perbankan Islam telah berkembang dengan pesat dan menjadi rujukan di seluruh dunia yang boleh dijadikan alternatif. Isu yang berlaku ialah bila mana seseorang itu bekerja di bank konvensional yang mana kebanyakan transaksi yang dijalankan adalah melalui sistem riba, sedangkan Allah SWT berfirman: وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” Surah al-Baqarah (275) Juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir R.A bahawasanya: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat orang yang memakan harta riba, orang yang menjadi wakilnya (orang yang memberi makan hasil riba), orang yang menuliskan dan dua orang yang saksinya, (dan selanjutnya), Nabi bersabda, mereka itu semua sama saja.” Riwayat Muslim (1598) Ini merupakan dalil yang menunjukkan pengharaman berurus niaga dengan mereka yang menjalankan proses atau transaksi riba. Berkenaan isu bekerja di bank konvensional, umum mengetahui bahawa bank konvensional merupakan salah satu institusi kewangan yang wujud di Malaysia sebelum adanya bank yang mempraktikkan sistem perbankan Islam. Kedua-duanya daripada industri yang sama namun pada hakikatnya, ia berbeza daripada sudut pengurusan, penghasilan dan sebagainya. Perbezaan yang ketara di sini boleh dilihat pada keuntungan dalam perbankan Islam diperoleh daripada transaksi yang dibenarkan oleh syarak seperti kontrak jual beli. Manakala faedah dalam perbankan konvensional pula, diperoleh secara langsung daripada kontrak pinjaman dan ini tidak dibenarkan oleh syarak kerana membawa kepada riba. Terdapat fatwa daripada berbagai buah negara dalam hal ini yang boleh dirujuk seperti Jordan, Saudi, Kuwait, Palestin, Syria, Badan Fatwa bagi Muslim di Amerika, Fatwa Mufti Kerajaan Brunei dan lain-lain. Berdasarkan penjelasan di atas, apa yang dapat kami nasihatkan ialah berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan lain yang lebih diyakini tanpa tergesa-gesa untuk berhenti dari pekerjaan sedia ada. Hal ini tentunya akan berbeza daripada setiap individu dengan individu yang lain serta kesusahan yang dihadapi dalam mendapat pekerjaan lain yang sesuai. Wallahu A‘lam.
chevron_left
Kembali