home
Laman Utama
content_paste
Fatwa Negeri Johor
Himpunan Fatwa Negeri Johor
Fatwa Mengikut Kategori
Fatwa Diwartakan
Fatwa Tidak Warta
assignment
Soal Jawab Agama
Himpunan Soal Jawab
Soal Jawab Mengikut Kategori
Maklum Balas Soal Jawab
Semakan Soal Jawab
explore
Permohonan Kiblat
chevron right
Permohonan Pengukuran Arah Kiblat
Semakan Permohonan Arah Kiblat
menu_book
Manual Pengguna
language
Website Jab Mufti
Toggle navigation
Detail Soal Jawab Agama
Soalan :
PERTANYAAN BERKENAAN HUKUM SUSUAN MAHRAM BAGI ANAK ANGKAT Assalamualaikum w.b.t., Saya Yuana Mazlan dari Johor Bahru. Saya ingin memohon penjelasan daripada pihak Jabatan Mufti Johor berkenaan hukum susuan mahram bagi anak angkat. Situasi saya: • Anak angkat saya kini berusia 1 tahun 3 bulan. • Saya berhasrat untuk menyusukan beliau supaya terjalin hubungan mahram dengan suami saya. • Saya sedang berusaha untuk menghasilkan susu badan semula (relaktasi). Soalan saya: 1. Adakah mencukupi syarat 5 kali kenyang susuan jika susu badan yang diberi bercampur dengan susu formula (contoh: 1 oz susu ibu + 4 oz susu formula dalam satu sesi)? 2. Apakah panduan rasmi mengikut Mazhab Syafi’i di Malaysia berkaitan isu ini? 3. Bagaimana cara terbaik untuk mendokumentasikan susuan tersebut supaya sah di sisi syarak dan undang-undang? Saya mohon penjelasan daripada pihak tuan/puan agar saya dapat melaksanakan perkara ini dengan betul menurut hukum syarak. Sekian Terima Kasih, Yuana.
Tahun Dikeluarkan :
Kategori :
Jawapan :
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين Terima kasih atas soalan dan kesudian puan merujuk kepada Jabatan Mufti Johor bagi mendapatkan penjelasan berhubung hukum susuan anak angkat. Isu penyusuan anak angkat bagi tujuan menjadikan hubungan mahram merupakan perkara penting dalam hukum kekeluargaan Islam. Penjelasan yang tepat amat perlu agar tidak timbul kekeliruan dalam urusan perkahwinan. Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan menjadi sebab terjalinnya kasih sayang dan diredai dalam keluarga puan. Berikut penjelasan diberikan berdasarkan pandangan Mazhab Syafi‘i, iaitu mazhab rasmi yang diamalkan di Malaysia. Pendahuluan Soalan 1 : Adakah mencukupi syarat 5 kali kenyang susuan jika susu badan yang diberi bercampur dengan susu formula (contoh: 1 oz susu ibu + 4 oz susu formula dalam satu sesi)? Jawapan : Seseorang anak susuan hanya diiktiraf sebagai ahli keluarga dan menjadi mahram yang haram dikahwini apabila telah disusukan oleh ibu susuan sebanyak lima kali penyusuan yang sempurna sehingga mencapai tahap kenyang. Penyusuan tersebut tetap diiktiraf sekiranya susu badan dicampurkan dengan susu formula dan tiada ketetapan khusus berhubung kadar percampuran antara kedua-dua jenis susu tersebut. Namun demikian, disyaratkan kandungan susu ibu hendaklah lebih dominan dan lebih banyak berbanding susu formula, di samping mengekalkan sifat asal susu ibu tersebut dari segi bau, warna, dan rasa tanpa sebarang perubahan yang ketara akibat campuran tersebut. Soalan 2: Apakah panduan rasmi mengikut Mazhab Syafi’i di Malaysia berkaitan isu ini? Jawapan : Anak yang menyusu akan menjadi anak susuan apabila memenuhi syarat-syaratnya, antaranya anak yang menyusu itu kurang dari dua tahun (qamariah-hijrah) dan anak tersebut telah disusukan sebanyak lima kali susuan pada waktu yang berasingan. Penentuan sama ada setiap penyusuan itu dikira berasingan atau tidak bergantung kepada kebiasaan umum. Jika anak berhenti menyusu kerana telah kenyang, maka itu dikira sebagai satu kali penyusuan penuh. Namun, sekiranya anak hanya berhenti seketika kerana bermain atau bertukar payudara sebelum meneruskan penyusuan, keadaan itu tetap dianggap sebagai satu kali penyusuan sahaja. Soalan 3: Bagaimana cara terbaik untuk mendokumentasikan susuan tersebut supaya sah di sisi syarak dan undang-undang? Jawapan : Kami mencadangkan agar puan membuat surat pengakuan bertulis di hadapan Pesuruhjaya Sumpah atau mendaftar anak susuan di MyRadha`ah (JAIS) supaya tidak timbul isu perkahwinan di kemudian hari. Hubungan anak susuan ini memberi kesan seperti mana dalam nasab (keturunan) di mana anak susuan menjadi mahram dan tergolong dalam golongan yang tidak boleh dikahwini. Kesimpulan Secara ringkasnya, penyusuan anak angkat sebanyak lima kali kenyang sebelum umur dua tahun hijrah dengan susu ibu yang asli sudah mencukupi untuk mewujudkan hubungan mahram susuan menurut Mazhab Syafie. Puan juga digalakkan membuat rekod dan pengesahan rasmi bagi mengelakkan kekeliruan pada masa hadapan. والله أعلم بالصواب.
chevron_left
Kembali