home
Laman Utama
content_paste
Fatwa Negeri Johor
Himpunan Fatwa Negeri Johor
Fatwa Mengikut Kategori
Fatwa Diwartakan
Fatwa Tidak Warta
assignment
Soal Jawab Agama
Himpunan Soal Jawab
Soal Jawab Mengikut Kategori
Maklum Balas Soal Jawab
Semakan Soal Jawab
explore
Permohonan Kiblat
chevron right
Permohonan Pengukuran Arah Kiblat
Semakan Permohonan Arah Kiblat
menu_book
Manual Pengguna
language
Website Jab Mufti
Toggle navigation
Detail Soal Jawab Agama
Soalan :
Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, YBhg Sahibus Samahah Dato’, Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk. Sukacita dimaklumkan bahawa Pasaran Modal Islam (ICM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), kini sedang dalam proses menyemak semula metodologi penyaringan Syariah untuk sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia. Namun, fokus kajian semakan ini adalah mengenai operasi pawagam. Untuk makluman Sahibus Samahah Dato’, isu berkaitan pawagam telah diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC sejak tahun 2000 di mana aktiviti pawagam diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah dengan tanda aras tertentu. Namun, mengambil kira perkembangan semasa dalam industri hiburan termasuk pawagam, pihak MPS SC kini sedang meneliti semula sama ada aktiviti pawagam perlu dikekalkan atau dikeluarkan daripada senarai aktiviti yang tidak patuh Syariah di bawah tanda aras 20%. Untuk pemahaman pihak Sahibus Samahah Dato’ juga, dalam penyaringan pematuhan Syariah berkaitan dengan aktiviti pawagam ini, sekiranya pendapatan sebuah syarikat yang terlibat dengan aktiviti pawagam melebihi daripada tanda aras 20%, maka sekuriti syarikat tersebut diklasifikasikan sebagai tidak patuh Syariah oleh MPS SC. Sehubungan dengan itu, pihak kami melampirkan persoalan berkaitan perkara ini sebagaimana di atas dan pihak kami amat mengalu-alukan sebarang maklum balas dan pandangan daripada pihak Sahibus Samahah Dato’ mengenainya. Pihak kami juga amat terbuka dan berbesar hati untuk mengatur sesi perbincangan bersama pihak Sahibus Samahah Dato’ untuk menerangkan dengan lebih lanjut perkara ini, pada masa yang sesuai. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut diperlukan, pihak Sahibus Samahah Dato’ boleh menghubungi sayadi talian 03-6204 8310 atau melalui emel di SurianiS@seccom.com.my. Sekian, terima kasih.
Tahun Dikeluarkan :
Kategori :
Jawapan :
Assalamualaikum w.b.t. 1) Sejauhmana operasi pawagam termasuk dalam kategori lahw yang dibenarkan atau dilarang dalam Islam? Pawagam ialah panggung wayang bergambar yang memaparkan filem dan jalan cerita yang dihasilkan daripada idea dan buah fikiran pengarah dan penerbit. Pawagam ialah seperti menonton televisyen di rumah dengan layar yang besar. Menonton filem hukum asalnya adalah mubah (harus) selagi tiada unsur-unsur maksiat dan melalaikan. Operasi pawagam yang ada pada masa sekarang bersifat komersial dan berorentasikan keuntungan. Pengarah dan penerbit filem kini memfokuskan penerbitan filem mengikut rentak semasa yang menjadi kegemaran penonton iaitu genre aksi dan seram tanpa mengikut garis panduan dan perspektif Syarak. Filem yang asalnya menjadi medium pendidikan dan kesedaran untuk masyarakat kini berkembang luas dan berjaya mengaut keuntungan yang banyak. 2) Sekiranya operasi pawagam termasuk dalam larangan Islam, sejauhmana ia termasuk dalam larangan Allah SWT sebagaimana dalam Surah Al-Maidah (5:2) Operasi pawagam akan menjadi haram dan termasuk dalam larangan Islam sekiranya garis panduan dan kriteria yang akan diberikan tidak diikuti dan dilanggar. 3) Sejauhmana aspek-aspek berikut diambilkira dalam penentuan hukum bagi operasi pawagam : 1. Kandungan filem yang ditayangkan seperti aksi, animasi, komedi, drama, seram, dan sebagainya. · Terdapat garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Fatwa Negeri di Jabatan Mufti negeri-negeri. Tetapi kesemua garis panduan bersifat umum dan bukan khusus kepada operasi pawagam. · Antara garis panduan berkaitan operasi pawagam dan hiburan yang ada : i. Garis Panduan Penapisan Filem (KDN 2011). ii. Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (JAKIM 2014). iii. Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM 2015). iv. Garis Panduan Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam (JAKIM 2015) v. Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah (JAKIM 2015). vi. Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu (JAKIM 2024). vii. Garis Panduan PUSPAL Persembahan Artis Luar Negara (Kementerian Komunikasi 2025). viii. Garis Panduan PUSPAL Penggambaran Filem (Kementerian Komunikasi 2025). · Terdapat 2 aspek utama dalam operasi pawagam iaitu filem yang ditayangkan dan penonton yang hadir. · Filem yang ditayangkan mestilah memenuhi kriteria Syarak iaitu mestilah menepati prinsip Akidah, Syariah, dan Akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah. · Antara kriteria filem yang memenuhi prinsip Akidah : I. Tidak mengandungi perkara-perkara yang menyentuh kesucian islam. II. Tidak mempropaganda akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan mazhab ahli sunnah wal-jamaah. III. Tidak mempersenda dan mempersoal kewibawaan sumber-sumber hukum Islam yang utama iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. IV. Tidak bertentangan dengan fatwa atau pendapat jumhur ulama’. V. Tidak mengandungi unsur-unsur isra’iliyyat, khurafat dan kebudayaan karut. VI. Tidak mengilustrasikan para nabi, sahabat yang empat, malaikat serta memperwatakkan gambar-gambar tersebut. VII. Tidak mengandungi perkara-perkara khurafat, tahyul, syirik, bid’ah dan adat yang menyalahi Islam. VIII. Tidak memapar dan menyebarkan hadith palsu (maudhu’) dan kisah-kisah Isra’iliyyat. IX. Tidak mengandungi perkara yang bertentangan dengan fatwa atau pandangan hukum yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti. X. Orang Islam tidak boleh melakonkan watak bomoh dan dukun yang mempunyai elemen syirik dan khurafat. XI. Orang Islam tidak boleh melakonkan watak sami, paderi dan biarawati. · Antara kriteria filem yang memenuhi prinsip Syariah : I. Tiada adegan yang tidak menutup aurat II. Tiada sentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram III. Tiada memaparkan pergaulan yang bebas antara lelaki dan perempuan IV. Tiada gambar, ukiran atau patung V. Orang Islam tidak boleh melakonkan adegan minum arak dan judi. VI. Orang bukan Islam tidak dibenarkan melakonkan watak tokoh agamawan Islam seperti ustaz, ulama dan lain-lain lagi. VII. Tidak melakonkan watak yang menyerupai jantina yang berlainan sama ada lelaki atau wanita. VIII. Tiada lakonan lawak jenaka yang mempersendakan agama, kematian dan ulama. IX. Tiada lakonan lawak jenaka yang boleh membawa maksud negatif seperti fitnah · Antara kriteria filem yang memenuhi prinsip Akhlak : I. Tema solusi menunjukkan kekuatan atau kehebatan atau kemenangan unsur-unsur negatif hendaklah dilarang. II. Tidak mengandungi dialog atau ungkapan kasar, kesat, cabul dan lucah. III. Tidak mengandungi dialog atau ungkapan fitnah, adu domba dan hasutan. IV. Tidak merendah dan mempersenda kewibawaan serta maruah agama atau ulama atau mufti. V. Tiada paparan scene atau syot atau frame mengerikan dan menakutkan yang melampau. VI. Tiada paparan scene atau syot atau frame perlakuan hubungan sejenis. VII. Tiada paparan scene merendah-rendahkan martabat wanita, lelaki, OKU atau kanak-kanak. VIII. Tiada paparan scene yang mengandungi sifat-sifat mazmumah (tercela). IX. Tiada paparan scene atau syot atau frame yang boleh menggangu emosi dan kesihatan. X. Tiada plot yang hanya membesar dan menekankan hiburan semata-mata. 2. Penyediaan prasarana seperti penyusunan kerusi, waktu tayangan filem, keadaan gelap dalam pawagam dan sebagainya. · Oleh kerana tayangan di pawagam dalam keadaan gelap, pengasingan kerusi perlu dilakukan agar dapat mencegah fitnah dan perkara-perkara yang tidak bermoral. Pengasingan kerusi boleh dibahagi kepada 3 bahagian, lelaki, perempuan dan keluarga. Selain itu, waktu operasi pawagam juga boleh dibuka pada waktu yang sesuai dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam. Waktu solat Jumaat, waktu tengah malam, dan hari kebesaran Islam boleh dipertimbangkan untuk tidak beroperasi demi menghormati hari dan waktu tersebut. · Kita boleh mengambil contoh garis panduan permit dan lesen hiburan yang berkuatkuasa di negeri Terengganu. Terengganu salah satu negeri yang melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki dan wanita bukan mahram dan juga keluarga. Selain itu, CCTV dipasang di dalam pawagam bagi memantau penonton agar peraturan tersebut tidak dilanggar. · Antara waktu larangan beroperasi di Terengganu : I. Malam Jumaat : Daripada pukul 6.00 petang pada hari Khamis hingga pukul 3.00 petang hari Jumaat. II. Hari Maulud Nabi : Daripada pukul 6.00 petang hari sebelumnya hingga 6.00 petang hari itu III. Hari Mi’raj : Daripada pukul 6.00 petang hari sebelumnya hingga pukul 6.00 pagi hari itu. IV. Hari Nisfu Syaaban : Daripada pukul 6.00 petang hari sebelumnya hingga pukul 6.00 pagi hari itu. V. Hari Pertama Raya : Daripada pukul 6.00 petang hari sebelumnya hingga Puasa ( Aidilfitri ) pukul 2.00 petang hari itu. VI. Hari Pertama Raya : Daripada pukul 6.00 petang hari sebelumnya hingga Haji ( Aidil Adha ) pukul 9.30 malam hari itu. VII. Hari Dalam Bulan : Daripada pukul 6.00 petang hingga 9.30 malam. VIII. Bulan Ramadhan IX. Awal Muharram : Daripada pukul 6.00 petang hari sebelumnya (Maal Hijrah) hingga pukul 3.00 petang hari itu. X. Hari Arafah : Daripada pukul 6.00 petang hari sebelumnya hingga pukul 6.00 pagi hari itu. 4) Sekiranya Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah menapis kandungan filem, dan hanya menayangkan filem yang mendapat kelulusan LPF, a) Sejauhmana operasi pawagam boleh dianggap patuh Syariah? · Banyak filem yang ditayangkan di pawagam mahupun media walaupon telah mendapat kelulusan LPF, tetapi banyak filem yang tidak memenuhi kriteria Syariah. Antaranya masih ada tayangan yang memaparkan lelaki dan perempuan bukan mahram bersentuhan, pelakon, dan adegan-adegan yang menaikkan syahwat dan fitnah. b) Apakah hukum pendapatan yang diperolehi oleh syarikat pawagam daripada penjualan tiket untuk menonton sesuatu filem? · Sekiranya operasi pawagam yang dijalankan memenuhi kriteria Syariah dari segi filem yang ditayangkan dan keadaan penonton semasa menonton pawagam, maka pendapatan yang diperolehi oleh syarikat pawagam adalah halal. 5) Sejauhmana keperluan kepada garis panduan atau parameter Syariah tertentu di dalam menilai kandungan filem yang boleh ditayangkan kepada umum/semua peringkat umur dan penyediaan prasarana di pawagam? Garis Panduan sedia ada perlu diperkemaskan sekiranya ingin menjadikan operasi pawagam patuh Syariah. Bukan sekadar pengasingan tempat duduk sahaja, filem-filem yang ditayangkan juga perlu betul-betul ditapis agar tiada unsur-unsur negatif mahupun yang bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah yang akan memberi kesan kepada masyarakat. 6) Kesimpulan : Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), antara filem cereka di bawah skim wajib tayang yang mengutip kutipan tertinggi pada tahun 2022 iaitu filem Mat Kilau dengan kutipan RM 89 juta, pada tahun 2023 : filem Polis Evo 3 dengan kutipan RM 50 juta, pada tahun 2024 : Filem Sheriff dengan kutipan RM 59 juta, dan pada tahun 2025 : filem Blood Brothers dengan kutipan RM 73 juta. Jika dilihat kesemua filem ini ialah dalam genre aksi dan kesemua filem ini telah melepasi garis panduan FINAS dan LPF, tetapi filem-filem ini masih mempunyai unsur tidak patuh Syariah iaitu antaranya terdapat adegan tidak menutup aurat dan kata-kata kesat yang membawa kepada perkara negatif. Untuk menjalankan operasi pawagam patuh Syariah, filem yang ditayangkan hendaklah filem-filem islamik yang menepati kesemua garis panduan yang ditetapkan dan tempat duduk penonton juga hendaklah diasingkan. Dan sekiranya pawagam patuh syariah ini diwujudkan, mungkin bilangan penonton yang akan hadir akan berkurangan dan syarikat-syarikat pawagam tidak akan mendapat keuntungan seperti mana sebelum ini. Jadi operasi pawagam Syariah mungkin tidak dapat direalisasikan dan ianya patut dikekalkan pada tanda aras 20% sepertimana yang diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC sejak tahun 2000. Operasi pawagam bukanlah satu keperluan penting kepada umat Islam secara khusus dan terdapat medium hiburan lain yang boleh menggantikan pawagam seperti menonton televisyen rancangan dan filem islamik bersama keluarga di rumah. والله أعلم بالصواب
chevron_left
Kembali