home
Laman Utama
content_paste
Fatwa Negeri Johor
Himpunan Fatwa Negeri Johor
Fatwa Mengikut Kategori
Fatwa Diwartakan
Fatwa Tidak Warta
assignment
Soal Jawab Agama
Himpunan Soal Jawab
Soal Jawab Mengikut Kategori
Maklum Balas Soal Jawab
Semakan Soal Jawab
explore
Permohonan Kiblat
chevron right
Permohonan Pengukuran Arah Kiblat
Semakan Permohonan Arah Kiblat
menu_book
Manual Pengguna
language
Website Jab Mufti
Toggle navigation
Detail Soal Jawab Agama
Soalan :
Assalamualaikum tuan mufti. Harap pihak tuan dapat menjawab soalan saya ni kerana saya tak tahu nak rujuk secara terus dengan siapa. Saya seorang suami berumur 28 tahun dan isteri berumur 27 tahun. kami dah berkahwin hampir 3 tahun. 1-2 minggu sebelum akad nikah, isteri disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang (CKD) tahap 4. Tapi masa tu, doktor tidak sarankan beliau untuk buat dialisis. Jadi doktor sarankan pantau buat masa awal ni, dan mungkin akan buat transplant terus, cuma mungkin lambat lagi. Dan disebabkan sakit ni jugak, doktor mengatakan bahawa isteri tidak disarankan untuk mengandung kerana bimbang kesihatan buah pinggang dia akan makin merosot cepat. Saya dengan isteri pada masa tu terima dengan hati yang terbuka. Jadi setelah buat perbincangan dengan kedua2 belah pihak keluarga, keluarga minta kami yang buat keputusan sendiri dan mereka akan ikut apa jua keputusan kami. Di pendekkan cerita, minggu lepas doktor mengatakan kondisi buah pinggang isteri makin merosot sedikit cepat dari yang dijangkakan, jadi mungkin perlu bersedia untuk buat pembedahan transplant. Difahamkan ibu bapa isteri tak dapat jadi penderma kepada isteri disebabkan faktor usia dan kesihatan mereka. Jadi saya dengan rela hati sudi untuk menjadi penderma kepada isteri saya sendiri. dan doktor akan buat ujian kesihatan terhadap saya. Cuma yang menjadi masalah sekarang ni keluarga tidak merestui keputusan saya, bahawa saya yang akan jadi penderma tersebut. Tapi saya tetap dengan keputusan saya nak jadi penderma kepada isteri saya. Soalan saya : 1) Adakah saya berdosa kerana membelakangkan keluarga? 2) Apa pendapat tuan mufti tentang keputusan saya? 3) Apa tindakan yang perlu saya ambil sekiranya keluarga tetap tak restu? 4) Benarkah selepas berkahwin, isteri nombor 1 berbanding ibu sendiri? Diharap tuan mufti dapat memberi maklum balas kepada soalan saya ni. Kerana saya betul2 perlukan jawapan. Saya tak nak hubungan antara keluarga saya dengan isteri terjejas disebabkan masalah ni. Saya taknak hati kedua2 pihak terluka disebabkan keputusan saya.. Tolong ya tuan Mufti Sekian, Terima kasih. Firdaus Ahmad
Tahun Dikeluarkan :
Kategori :
Jawapan :
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين Berdasarkan isu yang dibangkitkan oleh saudara, situasi yang sedang dihadapi berkaitan dengan tanggungjawab suami terhadap isteri, serta hubungan dengan ibu bapa atau keluarga. Dalam memberi respon persoalan saudara, beberapa perkara perlu diambil kira termasuklah hukum syarak, maqasid syariah (tujuan utama sesuatu hukum) dan kebijaksanaan dalam mengurus persepsi dan emosi keluarga. Secara ringkas pihak kami nyatakan sebagaimana berikut; 1. Adakah berdosa jika membelakangkan keluarga? Secara asasnya, tidak berdosa jika keputusan itu dibuat oleh saudara untuk tujuan yang baik dan tidak melanggar syarak. Dalam Islam, menderma organ untuk menyelamatkan nyawa termasuk perkara yang diharuskan oleh para ulama’. Ia termasuk dalam prinsip menjaga nyawa (ḥifẓ al-nafs). Allah SWT berfirman: وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا “Sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah : ayat 32) Jika pakar perubatan atau doktor pakar mengesahkan bahawa pendermaan itu selamat untuk saudara, dan berpotensi untuk menyelamatkan atau memperbaiki kesihatan isteri, maka ia termasuk amalan baik yang besar nilainya. Dari sudut yang lain, menghormati ibu bapa tetap menjadi kewajiban saudara sebagai seorang anak. Walaupun saudara tidak dianggap berdosa memilih keputusan ini, namun cara berkomunikasi dengan ahli keluarga perlu dipelihara dengan penuh hikmah. 2. Pandangan terhadap keputusan saudara Keputusan yang saudara ambil untuk mendermakan organ kepada isteri menggambarkan sifat tanggungjawab seorang suami. Nabi SAW bersabda: كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah jagaan kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Seorang suami memang sepatutnya bertanggungjawab menjaga isteri yang berada di bawah tanggungannya. Ini kerana Allah SWT menggambarkan hubungan suami isteri begitu akrab sebagaimana firman Allah SWT: هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ “Mereka (isteri) adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah : ayat 187) Hubungan suami isteri turut merangkumi sikap saling melindungi, menjaga dan menyokong. Jika pendermaan organ (buah pinggang) itu tidak memudaratkan saudara secara serius, maka tindakan membantu isteri yang sakit adalah satu bentuk ihsan dan kasih sayang yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah. 3. Apa perlu dibuat jika keluarga tetap tidak restu? Terdapat beberapa perkara yang wajar diberi perhatian: 1. Memberi penjelasan melalui rasional ilmu perubatan. Kemungkinan keluarga menolak keputusan saudara adalah kerana takut kehilangan anak mereka atau bimbang jika terdapat kesan buruk terhadap Kesihatan saudara. Saudara boleh melakukan tindakan berikut; - Membuat pertemuan ahli keluarga dengan pakar perubatan untuk mendapat penjelasan yang terperinci berkenaan prosedur rawatan dan risiko sebenar. - Menjelaskan dengan cara yang baik dengan merasionalkan bahawa manusia boleh hidup normal dengan satu buah pinggang 2. Menggunakan pendekatan hikmah dan berlembut Saudara tidak perlu berdebat dengan cara yang keras. Terangkan bahawa saudara sangat menyayangi ibu bapa namun tetap juga perlu bertanggungjawab terhadap isteri. Allah SWT berfirman: وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا “Berkatalah kepada kedua ibu bapa dengan kata-kata yang mulia.” (Surah al-Isra’: ayat 23) Tidak salah juga bagi saudara untuk melibatkan individu-individu yang terhormat seperti guru agama, doktor pakar atau ahli keluarga yang dihormati oleh keluarga untuk menyampaikan mesej tersebut. Saudara juga perlu menjaga hubungan keluarga dengan sebaik-baiknya. Walaupun keputusan berbeza, pastikan tidak meninggikan suara dan tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan sebarang bentuk perbalahan. 4. Benarkah selepas kahwin isteri nombor satu berbanding ibu? Untuk makluman saudara, Islam tidak pernah menyuruh memilih antara ibu dan isteri. Walaupun begitu, ibu tetap mempunyai kedudukan paling tinggi dalam diri seorang anak . Firman Allah SWT: وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ “Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah.” (Surah Luqman : ayat 14) Nabi SAW bersabda ketika ditanya siapa paling berhak mendapat layanan baik: عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قَالَ: أُمُّكَ قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: أُمُّكَ قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: أُمُّكَ قَالَ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: أَبُوكَ Seorang lelaki datang bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku berbuat baik dan melayan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Kemudian ayahmu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Namun selepas berkahwin, Islam telah memberi panduan berikut ; Ibu menjadi tanggungjawab seorang anak untuk berbakti (birr al-walidain) Isteri menjadi tanggungjawab suami dari segi nafkah, perlindungan dan kepimpinan Ibu dan isteri, kedua-duanya tidak boleh dianggap saling bersaing, tetapi mempunyai hak yang berbeza. Dalam kes yang sedang saudara hadapi, membantu isteri yang sakit tidak boleh dianggap mengabaikan ibu. Saranan Keputusan yang saudara sedang aturkan adalah perkara yang besar, oleh itu pihak kami menyarankan; 1. Laksanakanlah solat sunat istikharah dan bermunajat kepada Allah SWT untuk memohon petunjuk dan pertolongan sebelum Keputusan akhir dibuat. 2. Dapatkanlah pandangan dan nasihat pakar perubatan agar saudara dapat memastikan risiko yang bakal dilalui adalah sangat minimum dan pembedahan yang dirancang berada atas landasan yang benar-benar sesuai. 3. Jagalah hati keluarga dengan sebaik mungkin walaupun mereka belum bersetuju dan janganlah berputus usaha untuk memujuk dengan hikmah. Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada isteri saudara, mempermudahkan segala urusan rawatan, serta mengharmonikan hubungan antara saudara, isteri dan kedua-dua keluarga. والله أعلم بالصواب
chevron_left
Kembali