home
Laman Utama
content_paste
Fatwa Negeri Johor
Himpunan Fatwa Negeri Johor
Fatwa Mengikut Kategori
Fatwa Diwartakan
Fatwa Tidak Warta
assignment
Soal Jawab Agama
Himpunan Soal Jawab
Soal Jawab Mengikut Kategori
Maklum Balas Soal Jawab
Semakan Soal Jawab
explore
Permohonan Kiblat
chevron right
Permohonan Pengukuran Arah Kiblat
Semakan Permohonan Arah Kiblat
menu_book
Manual Pengguna
language
Website Jab Mufti
Toggle navigation
Detail Soal Jawab Agama
Soalan :
Assalamualaikum Tuan Mufti. Selaku first-time untuk menjadi seorang ayah, apakah amalan yang boleh saya lakukan untuk kandungan isteri saya? Saya pernah dengar ada sesetengah ustaz kata seeloknya baca Surah Maryam atau Surah Luqman semasa dalam kandungan. Ada ke apa-apa amalan yang tertulis dalam Hadith? Mohon diperjelaskan. Terima kasih.
Tahun Dikeluarkan :
Kategori :
Jawapan :
JAWAPAN : بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين Waalaikumussalam. Segala puji bagi Allah SWT yang mengurniakan nikmat zuriat dan kegembiraan kepada pasangan suami dan isteri. Ketika isteri sedang mengandung, seorang suami digalakkan memperbanyakkan doa dan amalan yang soleh agar memelihara kandungan, mengurniakan anak yang soleh dan menjadikan keturunan yang taat kepada-Nya. Antara nasihat yang perlu dilakukan oleh seorang suami ketika isteri dalam kandungan: 1. Suami digalakkan memperbanyakkan membaca Al-Quran dan rajin menghadiri majlis ilmu agama. 2. Suami hendaklah mencari rezeki yang halal dan tidak terlibat dengan perkara yang haram. 3. Suami hendaklah memberikan kasih sayang, bersabar dan memberi sokongan kepada isteri serta bertimbang rasa terhadapnya. 4. Suami hendaklah membuat persiapan fizikal dan mental dalam menghadapi alam baru sebagai seorang suami yang baik. 5. Memperbanyakkan doa untuk keselamatan isteri serta memohon kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah. (Rujukan: Unit Hal Ehwal Islam, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang) Selain itu, kesulitan yang dialami oleh suami dan isteri yang mengandung menjadikan suami dan isteri benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam memohon permintaan dan kekuatan dari Allah Taala. Allah sentiasa mengabulkan doa hamba-Nya yang berada dalam kesusahan sehingga hatinya bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah Taala: أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ Bermaksud: “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang berada dalam kesusahan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan itu?” (Surah an-Naml, ayat 62) AMALAN DAN DOA KETIKA ANAK BERADA DALAM KANDUNGAN ISTERI a. Istighfar dan memohon ampun kepada Allah: Diriwayatkan dalam hadis, Rasulullah bersabda: مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ Bermaksud: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah akan menjadikan baginya jalan keluar daripada setiap kesempitan, kelapangan daripada setiap kegusaran, dan mengurniakan rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” (Riwayat Abu Daud, hadis ke- 1518 dan Ibn Majah, hadis ke-3819) b. Memperbanyakkan berdoa, antara doa yang diamalkan i. Doa mohon dikurniakan anak yang soleh, firman Allah Taala: رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ Bermaksud: “Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku (seorang anak) daripada kalangan orang-orang yang soleh.” (Surah As-Saffat, ayat 100) ii. Doa mohon zuriat yang baik, firman Allah Taala: رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ Bermaksud: “Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.” (Surah Ali 'Imran, ayat 38) iii. Doa agar dirinya dan zuriatnya mendirikan solat, firman Allah Taala: رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۖ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ Bermaksud: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan juga zuriat keturunanku orang yang tetap mendirikan solat. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (Surah Ibrahim, ayat 40) iv. Doa agar keluarga dan zuriat menjadi penyejuk mata, firman Allah Taala: رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا Bermaksud: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami penyejuk mata, dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Furqan, ayat 74) Sebagai penutup, kami mendoakan agar pasangan suami dan isteri sentiasa bertawakal kepada Allah Taala, memperbanyakkan doa, istighfar dan amal soleh sepanjang tempoh kehamilan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan, mengurniakan keselamatan kepada ibu dan anak, serta menganugerahkan zuriat yang soleh dan solehah, penyejuk mata di dunia dan penyelamat di akhirat. والله أعلم
chevron_left
Kembali